KOTA KINABALU: Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar memberi jaminan beliau akan berjuang memastikan individu bertanggungjawab dalam kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir menerima hukuman setimpal.
Menerusi satu perkongsian, Nurul Izzah berkata sebagai seorang ibu, beliau benar-benar merasai kesedihan yang ditanggung ibu Zara yang mahu melihat Zara membesar seperti biasa, sihat, dan ceria.
“Ibu mana yang tidak sedih melihat anaknya pergi tak kembali. Sebagai seorang ibu, saya benar-benar merasa kesedihan yang ditanggung oleh ibu kepada adik Zara. Dia hanya mahu melihat Zara membesar seperti biasa, sihat, dan ceria.
“Zara seperti anak kita semua. Peribadinya sopan, akhlaknya mulia dan merupakan seorang yang berpegang teguh pada ajaran agama. Pemergian Zara telah menyatukan kita semua merentasi sempadan dan perbezaan.
“Saya tidak akan berhenti memperjuangkan sehingga orang yang bertanggungjawab menerima hukuman yang setimpal serta persekitaran yang selamat untuk anak-anak kita,” katanya dalam perkongsian di Facebook selepas menemui ibu arwah Zara, di sini, pada Rabu.
Pada pertemuan itu, Nurul Izzah ditemani Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Seri Christina Liew.
Nurul Izzah berkata, pihaknya akan terus mengikuti dan memantau dengan rapat setiap perkembangan kes itu.
“Ini kerana setiap anak berhak untuk membesar dalam persekitaran yang selamat, bebas daripada ketakutan dan ancaman.
“Ini adalah tanggungjawab kita bersama untuk terus cakna, melindungi dan memastikan tragedi seperti ini tidak berulang lagi.
“Teruskan berdoa, usaha dan tawakal agar keadilan dan kebenaran ditegakkan dan roh anakanda Zara ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman. Amin YRA,” katanya. – Info X