TAWAU: Tindakan gatal seorang remaja lelaki mengajak pelajar perempuan ke hotel berakhir di lokap selepas dia disyaki mencabul dan memukul mangsa dalam kejadian di Jalan Kuhara, di sini, minggu lalu.
Suspek berusia 17 tahun itu ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau di tepi bangunan Eastern Plaza, kira-kira jam 4 petang semalam.
Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Champin Piuh berkata, mangsa berusia 18 tahun berkenalan dengan suspek melalui telefon sebelum berjumpa di kawasan kedai, 7 Ogos lalu.
“Suspek ajak mangsa ke hotel tapi ditolak. Dia kemudian bertindak agresif, menumbuk mangsa di lengan dan perut hingga lebam.
“Hasil daripada laporan dan siasatan dijalankan, suspek warga tempatan berusia 17 tahun berjaya diberkas,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, polis turut merampas sebuah Toyota Hilux bersama kunci kenderaan yang dipercayai digunakan dalam kejadian.
“Suspek direman untuk siasatan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.
Sehubungan itu, Champin mengingatkan orang ramai supaya lebih berwaspada khususnya ketika berurusan dengan individu yang baru dikenali dan segara membuat laporan sekiranya menjadi mangsa jenayah. – Info X