KOTA KINABALU: Peguam keluarga Allahyarham Zara Qairina Mahathir mencadangkan kepada Jabatan Peguam Negara supaya mendakwa individu dalam keterangan menjurus ke arah buli yang didedahkan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, semalam.
Menerusi satu kenyataan pada Khamis, peguam Shahlan Jufri berkata keterangan itu adalah antara perkara yang didedahkan dalam siasatan kes kematian arwah Zara.
Katanya, keterangan yang disebut oleh Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk M Kumar pada sidang medianya di Bukit Aman, Kuala Lumpur itu, semalam adalah antara pendedahan penting dalam kes itu.
“Di antara pendedahan penting yang dibuat oleh beliau ialah hasil siasatan Pasukan Petugas Khas JSJ Bukit Aman, wujud keterangan-keterangan yang menjurus ke arah buli sebelum kejadian menimpa Zara.
“Jika keterangan-keterangan di atas boleh dipercayai di mahkamah, kami mencadangkan kepada Jabatan Peguam Negara agar mendakwa individu atau individu-individu di dalam keterangan-keterangan tersebut yang melakukan buli di bawah seksyen 507D(2) Kanun Keseksaan.
“Di bawah seksyen tersebut, pesalah boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali. Apabila langkah ini diambil, inkues tidak perlu lagi diadakan,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata jika keterangan itu tidak mencukupi untuk membentuk satu kesalahan di bawah seksyen 507D(2) Kanun Keseksaan, siasatan lanjut perlu diteruskan bagi memperkuatkan keterangan-keterangan itu.
Shahlan bersama rakan guamannya, Rizwandean M Borhan, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh dan Farrah Nasser, berkata alam keadaan itu, inkues perlu diadakan serentak dengan penyiasatan lanjut tadi, manakala pendakwaan boleh dilakukan kemudian.
Pada sidang media semalam, Kumar mendedahkan Kumar berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan dua bentuk siasatan berhubung kes kematian Allahyarham Zara iaitu inkues bagi mengenal pasti punca kematian dan siasatan jenayah menjurus kepada perbuatan buli.
Kedua-dua siasatan itu, katanya akan dilakukan secara serentak dan menyeluruh mengikut prosedur undang-undang.
Beliau berkata, proses inkues akan memberi tumpuan kepada semua bukti dan maklumat berkaitan bagi menentukan punca kematian dan polis sudah mengenal pasti saksi-saksi yang akan dipanggil.
Jelasnya, siasatan jenayah pula akan memfokuskan kepada aspek perbuatan buli. – Info X