TAWAU: Sebuah bot kargo tempatan sarat dengan muatan buah sawit ditahan selepas dikesan melanggar syarat sah lesen di perairan Wallace Bay, di sini, semalam.
Bot berkenaan ditahan menerusi Ops Pluto Timur, Ops Sejahtera dan Ops Tiris yang dijalankan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), kira-kira pukul 8.20 malam.
Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Ariffin Ghazali berkata, bot berkenaan dikesan pada kedudukan 2.1 batu nautika barat laut Muara Sungai Tongkang, di sini.
Katanya, pemeriksaan awal mendapati tiga lelaki warganegara, masing-masing berusia 40 dan 66 tahun, bertindak sebagai nakhoda dan kru bot.
“Siasatan dokumentasi mendapati seorang daripada kru tidak tersenarai dalam lesen dan gagal memaklumkan pertukaran kru.
“Bot bersama juragan telah dibawa ke Jeti Zon Maritim Tawau untuk siasatan lanjut di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana melanggar syarat sah lesen,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, pihak APMM tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pemilik atau pengendali bot yang gagal mematuhi syarat lesen.
“Komuniti maritim perlu sentiasa peka kerana kegagalan mematuhi undang-undang boleh membawa tindakan tegas,” katanya.
Ariffin berkata, operasi penguatkuasaan akan diperkasakan di Zon Maritim Malaysia, khususnya kawasan keselamatan perairan Timur Sabah (ESSZONE), bagi membanteras sebarang aktiviti menyalahi undang-undang.
“Orang awam yang mempunyai maklumat berhubung salah laku jenayah maritim di perairan Tawau boleh menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Tawau di talian 089-752116 atau talian kecemasan 999,” katanya. – Info X