KOTA KINABALU: Penggunaan media sosial untuk mencari kejelasan dalam kes kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir boleh diterima sebagai salah satu pendekatan untuk menuntut keadilan.
Peguam Datuk Mohd Razali Razi, berkata semua pihak harus menghormati orang ramai, khususnya pengguna media sosial yang menggunakan saluran itu bagi mendapatkan keadilan untuk Zara.
“Kita faham bahawa ini adalah media sosial dan kita memberitahu keadilan untuk Zara. Kita menghormati perkara itu dan kita menuntut keadilan.
“Kita sentiasa menghormati netizen yang menggunakan media sosial untuk mencari kejelasan dan menuntut kebenaran dalam sesuatu perkara,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Tahlil, Doa dan Solat Hajat untuk Allahyarham Zara Qairina di Masjid Al-Munir, Kampung Darau, di sini, malam tadi.
Majlis itu dihadiri kira-kira 200 jemaah dari sekitar Kampung Darau, Manggatal.
Razali yang juga Setiausaha Agung Gagasan Rakyat, bagaimanapun berkata tidak bersetuju dengan tindakan netizen menggunakan media sosial bagi mendapatkan populariti.
“Kita seharusnya menyediakan sokongan emosi kepada keluarga, kita tidak sepatutnya mengambil ini sebagai satu landasan politik untuk menunjukkan kita tidak relevan dalam kes ini.
“Kita menghormati netizen yang mahu mendapatkan keadilan, itu yang paling betul, tapi pada akhirnya nanti, apa yang kita lihat, kita tidak buat spekulasi.
“Sebabnya, bahan yang kita terima datang daripada media sosial. Jadi, apabila spekulasi berlaku, ada perkara akan timbul, tiada keyakinan terhadap pihak berkuasa,” katanya.
Beliau berkata, apa yang dilakukan pihak polis dalam kes kematian Zara, sekurang-kurangnya mereka sudah membuat penjelasan.
“Tapi, apa yang penting sekarang ialah inkues. Apabila ada inkues, ia akan mendedahkan segalanya, jadu kita berharap inkues itu nanti dapat memberikan kebenaran,” katanya.
Razali berkata, Allahyarham Zara perlu diingati dengan rasa belas kasihan dan harapan mendapat keadilan yang sebaiknya. – Info X