Search

PENGORBANAN SYAWAL DI AWAN BIRU

May 15, 2022

admin

KOTA KINABALU: Glamor, berkarisma dan menyeronokkan.

Itu antara gambaran yang lazimnya dikaitkan dengan kerjaya sebagai juruterbang dan anak kapal.

Namun hakikatnya kerjaya ini mempunyai cabaran tersendiri termasuklah terpaksa mengorbankan masa bersama keluarga ekoran perlu bertugas ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Juruterbang MASwings, Kapten Rayzlan Salazar, 37, menyatakan tahun ini adalah kali pertama dia bertugas ketika sambutan satu Syawal.

“Tahun ini kali pertama bertugas di pagi Raya. Tahun-tahun sebelum ini memang dapat cuti dan pulang ke Tawau menyambut raya di kampung halaman.

“Tetapi Hari Raya kali ini saya beri peluang kepada rakan-rakan lain pula untuk bercuti sempena Aidilfitri.

“Sambutan tidak jauh berbeza dan kemeriahan Syawal itu tetap dapat dinikmati kerana keluarga mertua juga menetap di Kota Kinabalu,” katanya sudah 14 tahun bergelar juruterbang.

Pembantu Juruterbang, Muhammad Arman Zoelkifli, 37, berkata, tahun ini merupakan tahun kelima dirinya bertugas pada Hari Raya pertama sejak hampir lima tahun bersama MASwings.

Muhammad Arman yang berasal dari Subang Jaya, Selangor menyatakan walaupun tidak menafikan kesedihan tidak dapat beraya bersama keluarga di Semenanjung tetap ada namun perasaan itu akan hilang apabila melihat wajah-wajah penumpang yang menaiki pesawat kendaliannya.

“Hanya sekali saja dapat balik beraya malahan raya tahun ini juga kali kelima saya bertugas ketika Syawal.

“Tipulah kalau tidak rasa sedih. Saya sebelum ini pernah menitiskan air mata ketika dalam penerbangan hanya disebabkan pramugari bertugas memutarkan lagu lagu Balik Kampung.

“Tiada juga rasa terkilan sebab tidak dapat balik beraya pada Hari Raya pertama kerana selaku juruterbang MASwings, saya perlu menunaikan tanggungjawab kepada penumpang yang memilih perkhidmatan kita khususnya buat orang-orang di Sabah dan Sarawak,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), baru-baru ini.

Sementara itu, pramugara MASwings, Mohd Afif Rosleh, 32, memaklumkan sudah menjadi perkara biasa buat dirinya bertugas di pagi Syawal sejak hampir 10 tahun bertugas sebagai anak kapal di MASwings malahan pernah berada merasa malam raya di negeri orang atas faktor tuntutan kerja.

“Sama seperti beberapa tahun sebelumnya, saya bertugas di dalam penerbangan pada pagi satu Hari Raya tahun ini.

“Walaupun kampung halaman hanya terletak kira-kira lima kilometer sahaja dengan lapangan terbang namun moment kebersamaan di pagi raya itu dilihat penting setiap kali tibanya Hari Raya Aidilfitri namun saya tetap bersyukur isteri, anak-anak dan keluarga memahami tuntutan pekerjaan sebagai anak kapal,” katanya. – Info X