Search

SRIKANDI BERSATU SABAH KENALPASTI EMPAT CALON WANITA BERTANDING PRU15

May 14, 2022

admin

KOTA KINABALU: Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah menyatakan sudah mengenalpasti calon wanita untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15).

Ketua Srikandi Bersatu Sabah, Datuk Azizah Mohd Dun berkata semua calon berkenaan adalah membabitkan empat kerusi termasuklah di sebelah utara, pantai timur dan pedalaman Sabah.

“Semua calon itu adalah dalam kalangan mereka yang sudah kita kenalpasti dan bakal dikemukakan kepada pucuk pimpinan.

“Kita mahu juga apabila calon-calon dinamakan itu nanti mestilah mempunyai konsultasi atau perundingan dengan pihak srikandi supaya dapat pastikan mereka sudah bekerja di kawasan masing-masing.

“Semua calon ini terdiri daripada mereka yang mempunyai potensi dan mempunyai sekurang-kurangnya pendidikan di peringkat diploma selain sudah mempunyai pendedahan bukan sahaja dalam bidang politik tetapi kemasyarakatan.

“Calon dipilih juga memiliki pengalaman yang sesuai untuk menjadi wakil rakyat di peringkat nasional kerana kita tahu PRU ini adalah untuk Parlimen. Oleh itu, mereka mestilah boleh membawa suara rakyat Sabah khususnya daripada kalangan golongan wanita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Srikandi Bersatu Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.

Sementara itu, ditanya samaada dirinya bakal turut bertanding sebagai salah seorang calon wanita bagi PRU15, Azizah enggan mengulas lanjut dan menyatakan semua keputusan biarlah ditentukan oleh pucuk pimpinan tertinggi parti. – Info X