PENAMPANG: Pasukan bomba terpaksa menenangkan seorang pelajar tingkatan lima di sebuah sekolah, di sini, selepas dia dikatakan tiba-tiba mengamuk.
Dalam kejadian jam 8.30 pagi itu, remaja berusia 17 tahun yang dipercayai mengalami gangguan emosi terbabit bagaimanapun berjaya dikawal selepas dipujuk pasukan operasi bomba.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.35 pagi.
Katanya, sepasukan lapan anggota dan pegawai bersama jentera dan van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) dikerahkan bergegas ke lokasi kejadian.

“Pelajar lelaki terbabit mengamuk di tingkat tiga bangunan sekolah berkenaan dan pasukan bomba yang hadir berjaya memujuk mangsa.
“Mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Mesra Bukit Padang bagi mendapatkan rawatan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, pasukan operasi terus menjalankan pemeriksaan lanjut bagi memastikan tiada lagi bahaya lain.
“Operasi ditamatkan pada jam 8.51 pagi,” katanya. – Info X