KUDAT: Ops Gasak Laut di perairan Si Bogo, Pulau Bangkawan, dekat sini bakal dilancarkan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) dalam usaha merobohkan sejumlah ‘pondohan’ atau struktur haram dipercayai menjadi lokasi persinggahan penjenayah rentas sempadan.
Komander ESSCOM, Deputi Komisioner, Hamzah Ahmad berkata, Op Gasak Laut Siri 1/2022 itu akan dilancarkan pada 18 Mei depan ekoran terdapat pondohan tidak berpenghuni yang sudah diberikan notis pengosongan.
“Kita bimbang menjadi ancaman kepada keselamatan masyarakat dan negara.
“Malahan hasil tinjauan menerusi aset-aset udara dan pemeriksaan lapangan mendapati, pondohan berkenaan semakin bertambah sejak kebelakangan ini.
“Hasil perisikan turut menunjukkan pondohan haram seumpama itu berpotensi untuk menjadi ‘staging point’ elemen jenayah membabitkan jenayah penculikan, rompakan dan penyeludupan di perairan Zon Selamat Sabah Timur (ESSZONE).
“Oleh itu, operasi Op Gasak Laut diadakan bertujuan untuk mengambil tindakan terhadap pondok-pondok haram yang didirikan daripada terus berleluasa selain dieksploitasikan penjenayah rentas sempadan,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, berkata menyatakan pihak berkuasa akan menguatkuasakan perundangan dengan mengeluarkan notis mengikut peruntukan Seksyen 48(1)(j) Enakmen Taman Taman Sabah 1984 pindaan 2007 dan Akta Imigresen 1959/63.
Dalam operasi sama, Hamzah memakkumkan pihaknya juga akan memastikan setiap struktur yang dibina mempunyai lesen atau kebenaran dari pihak berkuasa agar setiap struktur yang dibina tidak disalahgunakan oleh penjenayah.
“Kita menasihatkan pemilik-pemilik struktur supaya mendapatkan kebenaran atau lesen untuk pondok yang dibina supaya tidak dikenakan tindakan,” katanya. – Info X