Search

Warga emas maut jatuh gaung 150 meter

August 16, 2025

Info X Reporters

TAMPARULI: Perjalanan seorang warga emas ke kebun bertukar tragedi apabila dia ditemui maut selepas terjatuh ke dalam gaung sedalam 150 meter di Kampung Kionsom Baru, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian itu, mangsa lelaki berusia 67 tahun dipercayai tergelincir sebelum terjatuh ketika menuju ke kebun miliknya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, Timbalan Penguasa Bomba II Mohamad Nor Amit berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 8.14 malam sebelum mengerahkan 10 anggota bersama jentera ke lokasi, kira-kira 20 kilometer dari balai.

“Setibanya di lokasi, mangsa didapati berada di dasar gaung sedalam 150 meter. Operasi menaikkan mangsa dilakukan menggunakan peralatan khas penyelamatan cerun.

“Mangsa berjaya dibawa naik pada jam 10 malam namun disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 10.40 malam.

Turut membantu, tiga anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tuaran. – Info X