Search

Peguam belum tahu identiti suspek didakwa

August 18, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Barisan peguam yang mewakili keluarga Allahyarham Zara Qairina Mahathir mengakui masih belum mengetahui identiti individu yang bakal didakwa di mahkamah berhubung kes membabitkan pelajar tingkatan satu itu.

Dalam kenyataan media bersama hari ini, mereka bagaimanapun menyambut baik keputusan Jabatan Peguam Negara untuk mendakwa suspek, selaras dengan cadangan yang pernah dikemukakan pada 14 Ogos lalu.

“Cadangan kami ketika itu ialah memandangkan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman telah mendedahkan bahawa wujud keterangan yang menjurus ke arah buli sebelum kejadian menimpa Zara, pendakwaan mesti dilakukan terhadap individu-individu di dalam keterangan tersebut di bawah Seksyen 507D(2) Kanun Keseksaan.

“Setakat waktu pengeluaran kenyataan media ini, kami tidak mengetahui tentang identiti individu-individu yang akan didakwa di mahkamah dan peruntukan undang-undang yang digunakan dalam pertuduhan nanti,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mereka berharap pertuduhan nanti dikaitkan dengan kematian Zara dengan menggunapakai Seksyen di atas supaya hukuman tinggi dikenakan terhadap mereka jika berlaku sabitan.

Terdahulu, Jabatan Peguam Negara dalam kenyataan medianya memaklumkan beberapa suspek yang dikenal pasti terbabir dalam kes buli Allahyarham Zara Qairina Mahathir akan didakwa dalam masa terdekat.

Tindakan itu dibuat berdasarkan keterangan dalam siasatan kes kematian pelajar berkenaan. – Info X