KOTA KINABALU: Peguam mewakili keluarga Allahyarham Zara Qairina Mahathir memohon Peguam Negara supaya menangguhkan sementara pendakwaan ke atas lima remaja yang didakwa membuli arwah.
Menerusi satu kenyataan pada Selasa, peguam Hamid Ismail, berkata permohonan itu selepas mendapati pendakwaan hanya dilakukan mengikut Seksyen 507C (1) Kanun Keseksaan.
Beliau berkata, pihaknya mahu pendakwaan ke atas lima remaja terbabit dibuat mengikut Seksyen 507D (2) Kanun Keseksaan.
“Selepas kami mengeluarkan kenyataan media semalam, kami baru mengetahui bahawa lima remaja tersebut akan didakwa di bawah seksyen 507C(1) Kanun Keseksaan kerana membuli Zara Qairina.
“Kami dengan ini memohon agar Peguam Negara dapat menangguhkan pendakwaan tersebut buat sementara waktu.
“Kami memohon agar Peguam Negara dapat mempertimbangkan agar semua remaja di atas dituduh di bawah seksyen 507D(2) Kanun Keseksaan,” katanya.
Beliau berkata, jika keterangan yang ada tidak mencukupi untuk membuktikan sabitan bagi kesalahan di bawah Seksyen 507D(2) Kanun Keseksaan, pihaknya berharap siasatan lanjut dapat diteruskan menjurus ke arah kesalahan itu dan pendakwaan ditangguh seketika.
Sebaliknya, beliau berkata jika keterangan yang ada sekarang dan hasil siasatan lanjut mencukupi untuk mendakwa semua remaja terbabit bagi kesalahan yang lebih berat dari seksyen 507D(2) Kanun Keseksaan, mereka merayu agar remaja terbabit didakwa bagi kesalahan yang lebih berat itu.
“Kami sangat khuatir sekiranya pendakwaan di bawah seksyen 507C(1) Kanun Keseksaan diteruskan dan semua tertuduh mengaku bersalah pada esok hari atau tarikh-tarikh berikutnya.
“Kemudian, apabila siasatan lanjut ataupun inkues menemui keterangan yang boleh membuktikan berlakunya kesalahan di bawah Seksyen 507D(2) Kanun Kesalahan atau kesalahan yang lebih berat, mereka tidak lagi boleh didakwa atas dasar ‘double jeopardy’ yang termaktub di dalam Artikel 7(2) Perlembagaan Persekutuan.
“Bagi tujuan di atas, kami telah menulis surat kepada Peguam Negara pada pagi ini dan telah dihantar melalui emel,” katanya.
Seksyen 507D (2) Kanun Keseksaan membabitkan kesalahan membuat apa-apa perkataan atau komunikasi yang menghina, mengugut atau mencela dengan niat memprovokasi hingga membawa kemudaratan termasuk berlaku cubaan bunuh diri atau membunuh diri dengan hukuman hingga 10 tahun penjara, denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Sebaliknya, Seksyen 507C(1) Kanun Keseksaan tidak menyebut mengenai cubaan bunuh diri atau membunuh diri dengan hukuman hingga setahun, denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. – Info X