KOTA KINABALU: EXCO Pemuda Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Anil Sandhu menyelar kenyataan Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP), Datuk Chin Su Phin yang menggesa kerajaan negeri menghalang Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Salleh memasuki negeri ini.
Beliau berkata, gesaan pemimpin LDP itu tidak wajar, lebih-lebih lagi alasan yang diberikan untuk mengenakan tindakan itu terhadap Akmal membabitkan isu yang berlaku di Semenanjung dan tiada kaitan dengan Sabah.
Katanya, Chin tidak sepatutnya mengaitkan isu itu dengan Sabah, seolah-olah negeri ini turut terlibat dalam kes yang dihadapi Akmal di Semenanjung.
“Pertama sekali, saya ingin menegaskan bahawa isu yang dipetik berlaku di Semenanjung. Kes ini tiada kaitan secara langsung dengan Sabah, malah telah berlalu lebih daripada seminggu tanpa sebarang kesan ketara terhadap keamanan dan keharmonian negeri ini.
“Maka, tidak wajar ia dibawa masuk ke dalam politik Sabah seolah-olah Sabah terlibat sama,” katanya menerusi satu kenyataan pada Isnin.
Anil mempersoalkan gesaan untuk menghalang pemimpin muda UMNO dan BN itu sedangkan UMNO adalah sebahagian daripada Kerajaan Madani yang sedang memacu agenda perpaduan, pembangunan dan kebajikan rakyat.
“Mengapa seorang pemimpin muda yang tegas memperjuangkan isu-isu nasional mahu diperlakukan seolah-olah pengganas yang perlu dihalang masuk ke Sabah?
“Tindakan sebegini hanya akan menimbulkan persepsi negatif terhadap perpaduan nasional yang kita bina bersama.
“Dr Akmal bukan sebarang figura beliau adalah seorang pejuang sejati untuk negara. Jasa dan pengorbanan beliau dalam membela rakyat, terutamanya generasi muda, tidak boleh dinafikan.
“Daripada isu kebajikan sehinggalah suara lantang memperjuangkan kepentingan negara, sumbangan beliau sudah terbukti,” katanya.
Berikutan itu, Anil menyatakan harapannya agar Chin tidak membesarkan isu yang sudah reda itu.
Jelasnya, rakyat Sabah sedang menanti kepimpinan yang fokus pada pembangunan, ekonomi, dan peluang pekerjaan.
“Kita hormati suara semua parti tapi sekarang sudah tenang jadi tidak perlu memanaskan lagi isu. Kalau kamu tidak mahu Dr Akmal bersuara, jadi kamu juga jangan cuba bersuara.
“Adalah lebih baik untuk Datuk Chin memberi tumpuan kepada menjaga parti LDP sebaiknya, memperkukuh kepercayaan rakyat dan bukannya mencetuskan polemik yang tidak membawa manfaat,” katanya.
Beliau menegaskan, Sabah tidak harus dijadikan medan untuk ‘politik alih isu’, lebih-lebih lagi isu yang berpunca dari luar negeri ini.
“Semua pemimpin ada tanggungjawab lebih besar, menjaga kestabilan politik dan mengutamakan rakyat.
“BN, khususnya Pemuda, kekal komited untuk bersama rakyat Sabah membina negeri dan negara dengan semangat perpaduan, bukannya dengan sekatan atau larangan yang hanya memecahbelahkan,” katanya. – Info X