Search

Op Manuk: Ayam sabung RM3 juta dirampas, 15 ditahan

August 18, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Pasukan Gerakan Am (PGA) Sabah berjaya menahan 15 individu dan merampas pelbagai barangan termasuk ayam sabung bernilai lebih RM3 juta dalam 12 serbuan berasingan di seluruh negeri.

Antara lokasi tumpuan yang menjadi serbuan operasi Op Manuk itu adalah di daerah Kudat, Keningau, Sandakan, Lahad Datu dan Tawau.

Komander Briged PGA Sabah, Datuk Abdul Rani Alias berkata, operasi dilancarkan untuk mengekang aktiviti pembiakan dan penjualam baka ayam yang dipercayai digunakan dalam kegiatan sabung ayam.

Katanya, 15 individu yang ditahan melibatkan 12 lelaki dan tiga wanita termasuk seorang wanita warga Filipina.

“Serbuan pertama terbesar dijalankan Task Force Risik BN17 PGA di dua lokasi berasingan sekitar daerah Lahad Datu dengan nilai rampasan sebanyak RM795,775.

“Dalam serbuan berkenaan, pasukan operasi berjaya menahan dua lelaki tempatan yang akan disiasat mengikut Seksyen 15(1) Enakmen Haiwan Sabah 2015,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Abdul Rani berkata, serbuan di lokasi lain seperti Kudat, Keningau, Sandakan dan Tawau pula turut membawa siasatan mengikut Seksyen 5(1) Enakmen Kebajikan Haiwan 2015, Jadual Dua Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 dan Seksyen 13(1) Akta Pemusnah Serangga Pembawa Penyakit 1975.

Katanya, operasi berkenaan turut berjaya mengesan ladang penternakan yang menjalankan operasi tanpa lesen yang sah serta lain-lain kesalahan.

Sehubungan itu, Abdul Rani menegaskan tindakan PGA itu akan diteruskan demi melaksanakan tanggungjawab bagi menjaga keselamatan negara dan ketenteraman awam.

Katanya, masyarakat juga dinasihatkan untuk mendapatkan permit yang sah dari Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah bagi menjalankan aktiviti penternakan ayam.

“Ia bagi mengelakkan sebarang salah laku dan keterlibatan dengan aktiviti penyeludupan haiwan khususnya ayam sabung,” katanya. – Info x