Search

Kes Zara: Lima remaja didakwa berkaitan buli hari ini

August 20, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Lima remaja yang disiasat polis berhubung kes kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir hari ini bakal dihadapkan ke Mahkamah Kanak-Kanak Kota Kinabalu atas perbuatan buli.

Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar, sebelum ini menjelaskan lima remaja berumur bawah 18 tahun itu akan didakwa mengikut Seksyen 507C(1) Kanun Keseksaan.

Walaupun peguam keluarga arwah Zara pagi semalam meminta pendakwaan itu ditangguhkan dan menukar seksyen pendakwaan kepada Seksyen 507D(2) Kanun Keseksaan, Jabatan Peguam Negara (AGC) tetap meneruskan pendakwaan mengikut seksyen 507C(1).

Permintaan peguam itu dibuat selepas mendapati seksyen yang dikenakan ke atas suspek hanya membabitkan perbuatan buli dan tidak menyentuh mengenai punca kematian arwah Zara.

Menerusi satu kenyataan malam tadi, AGC menyatakan Seksyen 507C(1) Kanun Keseksaan itu dikenakan terhadap lima remaja terbabit kerana pertuduhan terhadap mereka hanya membabitkan perbuatan buli.

AGC dalam kenyataan itu menjelaskan pertuduhan terhadap remaja terbabit tidak mempunyai kaitan dengan kematian Allahyarham Zara Qairina.

Jelas AGC, kenyataan peguam keluarga arwah Zara yang bimbang tertuduh tidak lagi boleh didakwa dengan seksyen lebih berat jika mengaku bersalah di bawah Seksyen 507C Kanun Keseksaan hanya bersifat spekulatif kerana tidak disokong oleh fakta yang tepat.

Sehubungan itu, AGC menegaskan bahawa pertuduhan di bawah seksyen 507C(1) Kanun Keseksaan dalam kes ini adalah bersandarkan kepada bukti dan fakta yang diperoleh hasil daripada siasatan yang dijalankan.

Sebagai makluman, Seksyen 507D (2) Kanun Keseksaan yang dicadang peguam keluarga arwah Zara membabitkan kesalahan membuat apa-apa perkataan atau komunikasi yang menghina, mengugut atau mencela dengan niat memprovokasi hingga membawa kemudaratan termasuk berlaku cubaan bunuh diri atau membunuh diri dengan hukuman hingga 10 tahun penjara, denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Sebaliknya, Seksyen 507C(1) Kanun Keseksaan tidak menyebut mengenai cubaan bunuh diri atau membunuh diri dengan hukuman hingga setahun, denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Berikutan itu, AGC menjelaskan prosiding inkues masih perlu dijalankan bagi menentukan punca kematian sebenar Zara Qairina.

Prosiding sebutan inkues kematian arwah Zara berlangsung Isnin lalu di hadapan Koroner Azreena Aziz yang menetapkan prosiding pendengaran selama sebulan bermula pada 3 September depan.

Pada prosiding itu, Mahkamah Koroner diberitahu seramai 195 saksi disenaraikan dalam siasatan kes kematian Zara, namun jumlah yang akan dipanggil pada inkues itu nanti akan diteliti semula dan dikurangkan mengikut kesesuaian inkues.

Peguam keluarga arwah Zara memaklumkan saksi inkues terdiri daripada saksi yang dipanggil polis sebelum ini dalam siasatan kes kematian Allahyarham Zara, termasuk guru dan pelajar serta ibu arwah sendiri.

Mengenai pertuduhan di Mahkamah Kanak-Kanak hari ini, prosiding membabitkan pembacaan pertuduhan terhadap setiap tertuduh, namun ia dilakukan secara tertutup dengan hanya membabitkan kehadiran pihak pendakwa raya, peguam dan tertuduh di hadapan hakim.

Ia kerana pendakwaan itu membabitkan remaja bawah umur yang tertakluk di bawah Akta Kanak-Kanak 2001.

Akta itu melindungi kanak-kanak daripada pendedahan identiti mereka yang mana tidak boleh didedahkan secara langsung atau tidak langsung.

Nama, gambar, sekolah atau sebarang maklumat yang boleh membawa kepada pengenalan diri mereka tidak boleh didedahkan kepada umum.

Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak memperuntukkan kesalahan boleh dihukum bagi mana-mana pihak yang menerbitkan sebarang maklumat yang boleh mengenal pasti kanak-kanak yang terlibat dalam prosiding mahkamah.

Hukuman termasuk denda sehingga RM10,000 atau penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali.

Peringatan mengenai hak kanak-kanak itu dimaklumkan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) menerusi kenyataan media semalam berhubung liputan membabitkan kanak-kanak dalam kes Allahyarham Zara Qairina.

SUHAKAM menegaskan fokus utamanya adalah untuk mencegah daripada berlakunya stigma terhadap kanak- kanak yang terlibat.

Suruhanjaya itu juga mengingatkan orang awam bahawa perbuatan membuli, sama ada di sekolah mahupun dalam talian, sama sekali tidak boleh diterima.

SUHAKAM turut menasihati platform media sosial seperti Facebook, Instagram dan TikTok di supaya mengemas kini dasar dalaman serta piawaian komuniti mereka bagi mengenal pasti dan memadam secara proaktif apa-apa kandungan yang melanggar Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak 2001.

Jelas SUHAKAM, sebarang kandungan yang diterbitkan dan boleh mengenal pasti kanak-kanak berpotensi menambah mudarat kepada mereka, sama ada secara tidak sengaja atau berniat jahat. – Info X