KOTA KINABALU: Pasukan peguam mewakili keluarga Allahyarham Zara Qairina Mahathir meminta Jabatan Peguam Negara (AGC) mengeluarkan kenyataan berhubung prosiding pendakwaan lima remaja di Mahkamah Kanak-Kanak, di sini.
Peguam Hamid Ismail, berkata kenyataan AGC perlu berikutan adanya perintah larangan yang dikeluarkan mahkamah bagi menghalang sebarang maklumat dalam prosiding berkenaan didedahkan kepada umum.
Beliau berkata, pihaknya juga tidak boleh berkongsi apa yang berlaku dalam mahkamah berikutan larangan berkenaan bagi mengelak ‘contempt of court’ atau menghina mahkamah.
Jelasnya, larangan itu bukan untuk menyembunyikan sesuatu atau melindungi orang kenamaan (VVIP), sebaliknya disebabkan peruntukan undang-undang.

“Banyak perkara yang tidak boleh didedahkan mengikut Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak, apa saja tidak boleh didedahkan termasuk sepanjang siasatan atau prosiding di mahkamah.
“Ia bukan sebab VIP atau ada perkara yang disembunyikan, ia disebabkan undang-undang yang melarang.
“Jadi kita berharap pihak AGC dapat memberikan kenyataan berhubung perkara ini,” katanya ditemui media di luar mahkamah pada Rabu
Hamid turut meminta maaf kerana tidak boleh mendedahkan apa-apa yang berlaku dalam prosiding mahkamah hari ini. – Info X