Search

DUA AKAUN MILIK ISTERI BEKAS PENGARAH JANS DIBEKUKAN, KATA SAKSI

May 17, 2022

admin

KOTA KINABALU: Saksi ke-20 perbicaraan kes rasuah membabitkan Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) Salimah Lamat, hari ini, memberitahu mahkamah dua akaun bank yang mempunyai baki berjumlah RM84,654.84 milik tertuduh kedua Fauziah Piut telah dibekukan pada 8 Oktober 2016.

Salimah Lamat yang juga penolong pengurus Bank Rakyat Berhad cawangan Kota Kinabalu berkata, pembekuan itu dibuat selepas pihaknya menerima arahan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Katanya, dua akaun bank itu yang dimaksudkan ialah akaun simpanan bernombor 22-053-158974-0 yang mempunyai baki terakhir RM49,974.84 dan akaun saham bernombor 77-053-110442-1 yang mempunyai baki terakhir RM34,684.00.

Baki terakhir itu adalah setakat penyata yang dicetak pada 8 November 2016.

“Berdasarkan kepada dokumen ini juga, penama Fauziah Bt Piut telah membeli saham dengan Bank Rakyat Berhad pada 17 Sep 2004.

“Pihak Bank Rakyat Cawangan Kota Kinabalu tidak menyimpan sebarang dokumen permohonan untuk pemilikan saham ini kerana bagi dokuman yang telah melebihi melebih tujuh tahun akan dihantar ke Ibu Pejabat Bank Rakyat Berhad di Kuala Lumpur, tetapi dokumen ini boleh diperolehi di situ,” katanya menerusi kenyataan saksinya, hari ini.

Salimah berkata demikian selepas dirujuk kepada penyata Bank Rakyat Berhad atas nama Fauziah yang bernombor 77-053-110442-1 dan bertarikh pada 8 Nov 2016.

Selain Fauziah, dua lagi tertuduh ialah suaminya yang juga bekas pengarah JANS Awang Mohd Tahir Mohd Talib dan bekas timbalannya, Lim Lam Beng.

Pada 29 Dis 2016, ketiga-tiga mereka mengaku tidak bersalah terhadap 37 pertuduhan pengubahan wang haram bernilai RM61.57 juta.

Semua pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 4 (1) (a) dan Seksyen 4 (1) (b) Akta Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (Amlafta) 2001.

Terdahulu, saksi ke-19 Kaim Kalimin yang merupakan pegawai di Kementerian Kewangan negeri memberitahu mahkamah bahawa beliau tidak pasti sama ada peruntukan tambahan yang diberikan kepada JANS bermula 2006 hingga 2016 telah habis digunakan atau tidak.

“Pihak Kementerian Kewangan tidak mendapat maklum balas daripada JANS mengenai perkara tersebut.

“Setahu saya, sebahagian daripada jumlah peruntukan untuk menyelesaikan kerja-kerja kecemasan (di bawah AP 55) akan diselaraskan di bawah peruntukan tambahan yang diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Kerja-kerja kecemasan boleh dibiayai melalui peruntukan-peruntukan sedia ada tertakluk kepada prosedur yang terkandung dalam AP 55, bagaimanapun, sekiranya tiada peruntukan sedia ada, sejumlah peruntukan yang terlibat dengan kerja-kerja kecemasan itu hendaklah di selaraskan di bawah peruntukan tambahan yang diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri,” katanya menerusi kenyataan saksi.

Sebelum itu, Kaim turut dirujuk peruntukan tambahan yang diluluskan berdasarkan rekod Waran Peruntukan Am Penyata Tambahan Pertama yang dikeluarkan dari tahun 2006 hingga tahun 2016.

Menurut penyata berkenaan jumlah peruntukan tambahan diberikan kepada JANS daripada 2006 hingga 2016 ialah sebanyak kira-kira RM1.4 bilion.

Perbicaraan di hadapan hakim Abu Bakar Manat itu akan bersambung esok. – Info X