Search

WANITA WARGA EMAS MAUT DISERANG BUAYA

May 17, 2022

admin

KOTA MARUDU: Seorang wanita warga emas disahkan meninggal dunia ekoran diserang buaya dalam kejadian di Sungai Bengkoka Kampung Sinasak Batu Pitas, di sini pada Ahad.

Dalam kejadian jam 10 pagi itu, mangsa berusia 66 tahun terbabit dikatakan diserang seekor buaya secara tiba-tiba
ketika membaiki pam air di sungai berkenaan bersama cucunya.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superitendan Zairolnizal Ishak berkata, siasatan awal mendapati, mangsa berada di lokasi kejadian bersama cucu perempuan yang berusia sembilan tahun.

“Bagaimanapun, seekor buaya dikatakan menyerang mangsa secara tiba-tiba sewaktu membetulkan pam air di sungai berkenaan.

“Menurut cucu mangsa, dia terkejut selepas terdengar jeritan neneknya dan melihat air sungai di tempat mangsa berada sebelum itu turut berkocak.

“Kanak-kanak terbabit kemudiannya melihat kelibat seekor buaya yang menyerang mangsa,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mengulas lanjut, Zairolnizal memaklumkan mangsa berjaya melepaskan diri dengan bantuan penduduk kampung sebelum dihantar ke Hospital Pitas untuk mendapatkan rawatan namun mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 1.20 petang ketika mendapatkan rawatan.

Menurut beliau, pegawai perubatan bertugas memaklumkan mangsa meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala mangsa disebabkan kesan gigitan buaya.

Kes diklasifikasikan sebagai Kes Mati Mengejut (SDR). – Info X