Search

PRN17: BN cabar Shahelmey tanding tiket GRS di Tanjung Keramat

August 22, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Barisan Nasional (BN) mencabar Timbalan Ketua Menteri, Datuk Ir Shahelmey Yahya bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Keramat atas tiket Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).

Ketua Penerangan BNCom Lahad Datu, Muhamad Gadzali Saif, berkata rakyat akan menentukan sama ada mereka benar-benar memilih Shahelmey atau parti yang mengangkatnya sebelum ini.

Beliau berkata, ADUN Tanjung Keramat yang juga Menteri Kerja Raya Negeri itu boleh mendabik dada, tetapi tanpa BN, namanya hanyalah nota kecil di Tanjung Keramat.

“Maka saya cabar beliau untuk bertanding semula di kerusi itu dengan tiket GRS. Hanya di situ rakyat akan menentukan, sama ada mereka benar-benar memilih Shahelmey, atau mereka memilih kerana parti yang mengangkatnya,” katanya dalam satu kenyataan.

Muhamad Gadzali berkata, Shahelmey yang juga Ahli Parlimen Putatan bukanlah pejuang mandat rakyat seperti yang beliau cuba gambarkan.

“Realitinya, beliau digantung oleh partinya sendiri kerana mengkhianati prinsip kesetiaan, tetapi masih mahu berdiri di pentas politik dengan wajah seolah-olah tidak bersalah.

“Dalam dunia politik moden, mandat rakyat tidak pernah terpisah daripada mandat parti. Shahelmey boleh mendabik dada, tetapi kebenaran tetap sama tanpa BN, nama beliau hanyalah nota kecil di Tanjung Keramat,” katanya.

Lebih menyedihkan, katanya sepanjang Shahelmey memimpin Kementerian Kerja Raya Sabah, kegagalan demi kegagalan terus membelenggu rakyat.

“Jalan raya yang rosak masih belum diperbaiki. Bekalan air masih belum stabil. Masalah elektrik masih menghantui bukan saja kawasan pedalaman malah di kawasan bandar juga sering terputus bekalan elektrik.

“Semua ini adalah tanggungjawab asas seorang menteri, tetapi Shahelmey gagal melaksanakan amanah tersebut.

“Lebih memburukkan keadaan, Shahelmey terpalit dengan video-video yang sudah tersebar luas. Sama ada beliau mahu menafikan atau berdolak-dalik, hakikatnya persepsi rakyat telah terbentuk.

“Seorang menteri yang gagal memikul amanah rakyat dan dalam masa yang sama merosakkan maruah kerajaan dengan imej buruk,” katanya.

Jelasnya, itulah wajah sebenar Shahelmey, yang dianggapnya bukan wira mandat rakyat, sebaliknya menjadi liabiliti politik GRS.

“Inilah kebenaran yang rakyat Sabah perlu tahu, Shahelmey tidak pernah menjadi simbol perjuangan, malah beliau adalah simbol kelemahan seorang ahli politik yang menukar prinsip dengan jawatan.

“Menukar perjuangan dengan kedudukan dan menukar harapan rakyat dengan kepentingan diri,” katanya.

Shahelmey memenangi kerusi DUN Tanjung Keramat atas tiket BN pada PRN16 September 2020 tetapi digantung keahlian selama enam tahun dalam UMNO selepas menentang keputusan UMNO Sabah menarik sokongan daripada kerjasama dengan GRS pada Januari 2023.

Atas sebab itu, Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin sebelum ini menegaskan tidak akan mencalonkan semula Shahelmey, sebaliknya mengumumkan Ketua UMNO Putatan, Jeffrey Nor Mohammad sebagai calon BN bagi kerusi itu. – Info X