KOTA KINABALU: Permohonan peguam untuk mendeklarasikan ibu Allahyarham Zara Qairina Mahathir sebagai orang berkepentingan dalam prosiding inkues bulan depan akan didengar di Mahkamah Koroner pada 28 Ogos ini.
Pasukan peguam mewakili keluarga arwah Zara dalam kenyataan mereka pada Jumaat, berkata permohonan itu difailkan pada 19 Ogos 2025, di Mahkamah Koroner.
Menerusi permohonan itu, mereka memohon agar anak guam mereka, iaitu ibu arwah Zara Qairina, Noraidah Lamat dideklarasikan sebagai orang yang berkepentingan dalam prosiding inkues kematian Zara.
“Dalam permohonan tersebut juga kami memohon agar anak guam kami, melalui kami, dibenarkan terlibat dalam prosiding inkues tersebut untuk memeriksa dan menyoal balas saksi-saksi, melihat dokumen-dokumen dan mencadangkan dan membawa saksi-saksi dan dokumen-dokumen tambahan untuk membantu koroner,” katanya.
Hamid Ismail bersama rakan guamannya, Shahlan Jufri, Rizwandean M Borhan, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh dan Farrah Nasser dalam kenyataan itu turut memohon untuk diberikan salinan dokumen-dokumen relevan daripada Jabatan Peguam Negara (AGC) sebelum permulaan prosiding inkues.
“Permohonan di atas telah ditetapkan untuk pendengaran di hadapan koroner pada 28 Ogos 2025 jam 9 pagi,” katanya.
Koroner Azreena Aziz pada Isnin lalu menetapkan pendengaran inkues kematian arwah Zara pada 3 hingga 4 September, 8 hingga 12 September, 17 hingga 19 September dan 22 hingga 30 September depan. – Info X