KOTA KINABALU: Sabah FC melayan kehadiran Kelantan The Real Warriors (TRW) FC dwngan berhati-hati dalam aksi Liga Super di Stadium Likas, malam esok.
Penolong Ketua Jurulatihnya, Alto Linus, menegaskan walaupun mempunyai kelebihan bermain di gelanggang sendiri, tugas mencabar tetap menanti pemain Sang Badak.
Beliau menekankan agar pemain mengekalkan tumpuan dan konsistensi permainan sepanjang aksi itu nanti selepas mengumpul satu mata dalam perlawanan pertamanya di Kuala Lumpur sebelum ini.
“Selepas mencatat keputusan positif dalam aksi Liga Super dan Piala FA di tempat lawan sebelum ini, skuad Sang Badak kembali ke laman sendiri dengan semangat yang tinggi.
“Namun kita perlu berhati-hati agar tidak terlalu selesa dengan pencapaian lalu. Dua perlawanan terakhir memang banyak membantu meningkatkan keyakinan pasukan, tapi kita tidak boleh cepat puas hati.
“Setiap perlawanan itu penting dan apabila bermain di depan penyokong sendiri di Likas, kita kena kekal fokus dan main dengan penuh disiplin,” katanya.
Perlawanan Sabah vs Kelantan esok dijadual bermula pada jam 8.15 malam.
Alto turut mengakui cabaran yang terpaksa dihadapi pasukannya esok berikutan keadaan beberapa pemain utama yang belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan.
Beliau bagaimanapun yakin mana-mana pemain yang diturunkan esok mampu bermain dengan baik untuk mencapai misi pasukan memenangi perlawanan pertama di gelanggang sendiri pada musim ini.
“Ada beberapa pemain yang belum cergas sepenuhnya, tapi saya yakin siapa saja yang diberi peluang akan memberikan yang terbaik untuk pasukan. Semua pemain tahu apa yang perlu dibuat apabila turun ke padang,” katanya.
Mengulas mengenai pasukan lawan, Alto mengakui kehadiran ketua jurulatih baharu Kelantan TRW, E Elavarasan membawa impak positif kepada pasukan itu dan menjadikan mereka sebagai pencabar yang perlu diberi perhatian.
“Kelantan TRW bukan lawan yang mudah. Mereka baru saja menewaskan KL City FC 3-1 dalam saingan Piala FA di Stadium Sultan Muhammad IV. Itu sudah cukup menunjukkan mereka sedang berada di landasan yang baik,” katanya.
Alto berkata, keupayaan Sang Badak tampil cemerlang dalam pusingan pertama Piala FA selepas membelasah Bunga Raya FC 6-0 ke di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada 17 Ogos lalu mesti diteruskan dalam saingan Liga Super malam esok.
“Apabila kita bermain di tempat sendiri, sudah tentu kita mahu pastikan tiga mata kekal di Likas,” katanya. – Info X