Search

SEMUA JAWATAN DALAM UPKO TERBUKA UNTUK DITANDINGI, KATA MADIUS

May 17, 2022

admin

KOTA KINABALU: Presiden UPKO, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau menegaskan pihaknya sentiasa mengalu-alukan semangat serta komitmen semua ahlinya yang mahu bertanding jawatan Presiden parti.

“Di UPKO, kami mengalu-alukan semangat dan komitmen seperti itu daripada ahli-ahli parti.

“Setiap jawatan, bermula dari ahli jawatankuasa cawangan sehinggalah jawatan Pengerusi Tetap, terbuka untuk dipertandingkan dalam semangat proses demokrasi dan bimbingan perjuangan parti untuk rakyat.

“Seperti semua parti politik, sudah tentu akan ada ahli parti yang ingin mengambil peluang ini untuk menyumbang kepada kemajuan parti dengan mahu memikul tanggungjawab yang lebih besar dalam parti.

“UPKO juga memahami cabaran yang kami hadapi, sebagai pembangkang akan mengundang pelbagai idea dan cadangan tentang bagaimana parti harus meletakkan dirinya membawa teraju perjuangan dan untuk berkhidmat dengan lebih baik kepada rakyat, lebih-lebih lagi ketika pilihan raya umum semakin hampir.

“Namun apa yang sama penting adalah saya yakin dan berasa selesa apabila mengetahui pemilihan pucuk pimpinan baharu pada Perhimpunan Agung Tritahunan pada tahun ini akan berlandaskan pada memastikan perpaduan, kekuatan dan keikhlasan dalam perjuangan UPKO senantiasa terpelihara, dijaga dan dipertahankan,” katanya.

Madius berkata demikian bagi mengulas kenyataan Naib Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick yang menzahirkan hasrat untuk bertanding jawatan Presiden pada pemilihan parti akan datang.

Terdahulu, Ewon semalam secara terbuka memaklumkan bahawa beliau bersedia untuk mencabar bagi jawatan Presiden parti ketika berucap pada Mesyuarat Agung Tritahunan UPKO Kota Belud di Dewan Kadamaian Square, Taginambur, Kota Belud. – Info X