KOTA BELUD: Dua wanita berusia 20 dan 21 tahun yang dilaporkan sesat ketika mendaki Bukit Bongol, di sini, petang semalam ditemui selamat.
Mangsa ditemui sepasukan bomba pada jam 9.22 malam tadi selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan di kawasan berkenaan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Penolong Penguasa Bomba, Elge Bakuk berkata, sebaik menerima panggilan kecemasan, lapan anggota bersama seorang pegawai digerakkan ke lokasi.
“Kedua-dua mangsa berjaya ditemui oleh pasukan bomba pada jam 9.22 malam di sekitar kawasan berhampiran dalam keadaan selamat.
“Seterusnya mangsa diiringi keluar ke kawasan selamat dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, selepas memastikan tiada lagi bahaya yang wujud, operasi ditamatkan pada jam 11 malam. – Info X