Search

KupiKupi FM meriahkan jelajah MACP di Sabah

August 24, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: ‘Riuh Bah Bersama KupiKupi FM’ memeriahkan program Music Authors’ Copyright Protection Berhad (MACP) Jelajah Malaysia Timur (Sabah) 2025 yang diadakan di sini.

Turut menyerikan acara ialah penampilan komposer, penyanyi, dan penyampai KupiKupi FM, Velvet Aduk bersama komposer serta penulis lirik Nazri Saidali menerusi sesi ‘Rentak Borneo, Irama Negeri Di Bawah Bayu’.

Program bertujuan mengeratkan hubungan dengan komuniti kreatif di Sabah serta meningkatkan kesedaran mengenai perlindungan hak cipta itu diadakan di Happy Place Restaurant, di sini.

Pengisian utama program itu ialah sesi perkongsian ‘Ruang Sembang bersama MACP’ dan ‘Apa Kata Penerbit Muzik?’ yang menampilkan wakil dari Taja Archive Sdn Bhd.

Memeriahkan lagi acara ialah persembahan istimewa daripada artis-artis tempatan Sabah.

Ahli Lembaga Pengarah Pencipta MACP wakil Malaysia Timur, Roger Wang menyifatkan program itu sebagai satu langkah permulaan yang baik bagi MACP di Sabah.

“Saya berharap ini akan menjadi satu permulaan kepada lebih banyak aktiviti pada masa hadapan.

“Saya yakin inisiatif sebegini mampu memartabatkan lagi industri muzik tempatan dan melahirkan lebih ramai bakat baharu yang berkualiti khususnya di negeri Sabah,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif MACP, Mary Yap, pula berharap agar acara jelajah itu menjadi platform yang berkesan untuk menyampaikan maklumat penting mengenai hak cipta dan hak ekonomi secara langsung kepada komuniti kreatif di Sabah.

Katanya, penganjuran program itu adalah usaha berterusan MACP untuk mewujudkan ekosistem muzik yang komprehensif, khususnya bagi pencipta muzik di Sabah.

“Usaha ini merangkumi perlindungan lagu tempatan, termasuk lagu etnik Sabah dan lagu antarabangsa,” katanya.

Beliau turut melihat penubuhan Music Rights Sabah (MRS) sebagai Organisasi Pengurusan Kolektif menjadi pelengkap kepada peranan MACP dalam memastikan royalti dapat dikutip secara menyeluruh dan tiada pendapatan yang terlepas.

“MACP turut mengambil kesempatan untuk berkongsi perkembangan terkini mengenai AI dalam muzik. MACP telah menetapkan bahawa hanya karya muzik yang dicipta sepenuhnya oleh manusia yang layak didaftarkan.

“Selain itu, MACP telah melesenkan pelbagai platform digital seperti Disney+, YouTube, Meta, TikTok, Spotify dan Apple Music, di samping premis perniagaan, stesen penyiaran radio dan televisyen.

“Ahli MACP akan menerima royalti Hak Persembahan daripada kesemua platform berlesen ini. Oleh itu, keahlian MACP amat penting bagi penggiat seni untuk tidak terlepas daripada sumber pendapatan tersebut,” katanya.

Sehubungan dengan ini, MACP katanya menyeru sokongan penuh daripada pihak berkuasa di Sabah, iaitu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), untuk bekerjasama melindungi dan menguatkuasakan hak cipta hasil karya seni tempatan.

“MACP berhasrat agar penggiat seni di Sabah memahami bahawa karya mereka mempunyai nilai yang sangat besar, bukan saja dari aspek seni tetapi juga dari sudut ekonomi.

“Dengan pemahaman yang betul, mereka dapat melindungi karya, menjana pendapatan yang adil, dan memastikan hasil seni mereka lebih terpelihara,” katanya. – Info X