KOTA KINABALU: Sabah FC berdepan kesukaran menentang Kelantan The Real Warriors (TRW) FC dalam aksi Liga Super di Stadium Likas malam tadi berikutan ketiadaan beberapa pemain tengah.
Penolong Ketua Jurulatihnya, Alto Linus, berkata Sang Badak bermain dalam situasi serba kekurangan berikutan pemain yang dijadikan sandaran utama tidak dapat diturunkan.
“Pada malam ini kita turun dengan serba kekurangan apabila kita lihat dalam kesebelasan utama di mana kita kehilangan beberapa ‘midfield’.
“Pertama sekali pada perlawanan lepas di mana Dean Pelekanos diberikan kad merah dan juga dua pemain utama kita Cifuentes dan Stuart Wilkin mengalami kecederaan.
“Sebab itu malam ini kita letak Daniel Ting bermain di sana sebab kita tidak ada ‘backup’ untuk bermain di posisi itu disebabkan kecederaan,” katanya pada sidang media selepas perlawanan malam tadi.

Berikutan situasi itu, Alto menyifatkan persembahan pemain Sabah dan keputusan seri tanpa jaringan yang dilakar malam tadi adalah sesuatu yang wajar.
“Untuk ‘game’ perlawanan malam ini, saya rasa dengan kecederaan pemain utama adalah ‘fair’ dengan apa yang kita dapat.
“Dalam masa yang sama pada malam ini kita juga mempunyai peluang-peluang yang boleh diterjemahkan dengan jaringan gol tapi kita mensia-siakan peluang,” katanya.
Sabah terpaksa berkongsi satu mata dengan Kelantan TRW selepas perlawanan berakhir dengan keputusan seri tanpa jaringan. – Info X