Search

Warga emas maut dirempuh pacuan empat roda

August 24, 2025

Info X Reporters

SANDAKAN: Seorang wanita warga emas maut selepas dirempuh sebuah pacuan empat roda ketika melintas jalan di Jalan Batu Sapi, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian jam 7.15 malam itu, mangsa berusia 62 tahun dikatakan melintas dari kanan ke kiri jalan sebelum dilanggar kenderaan jenis Isuzu DMax dipandu lelaki tempatan berusia 31 tahun.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner George Abd Rakman berkata, siasatan awal mendapati pemandu kenderaan dari arah pusat bandar menghala ke Taman Mawar, di sini.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, tiba-tiba pejalan kaki telah melintas jalan dari kanan menghala ke kiri jalan.

“Akibat daripada jarak yang terlalu dekat menyebabkan pemandu gagal membrek lalu melanggar mangsa di bahagian kanan jalan.

“Akibat rempuhan itu, mangsa tercampak ke lorong kiri jalan dan mengalami kecederaan parah di kepala sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Lokasi kemalangan maut membabitkan seorang wanita warga emas di Jalan Batu Sapi, Sandakan.

Menurutnya, mayat mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Duchess of Kent untuk bedah siasat.

Sementara itu, beliau turut menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati ketika menggunakan jalan raya bagi mengelakkan tragedi seumpama ini berulang. – Info X