KOTA BELUD: Seorang remaja lelaki berusia 14 tahun maut selepas motosikal ditunggangnya dirempuh sebuah lagi motosikal di Jalan Pan Borneo, Batu Gadung, di sini, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan Hospital Kota Belud akibat cedera parah.
Seorang lagi penunggang berusia 18 tahun turut cedera dan dihantar ke hospital sama untuk rawatan lanjut.
Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Shahrudin Mat Husain berkata, siasatan awal mendapati motosikal ditunggang remaja berusia 18 tahun itu melalui jalan lurus sebelum sebuah lagi motosikal ditunggang remaja berusia 14 tahun membuat pusingan U di bahu kiri jalan.
“Disebabkan jarak terlalu dekat, motosikal yang datang dari arah jalan lurus melanggar bahagian kanan motosikal yang membuat pusingan U.
“Penunggang berusia 14 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala seorang lagi cedera,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Kota Belud untuk tindakan lanjut, manakala kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Beliau turut meminta mana-mana saksi awam yang melihat kejadian tampil membantu siasatan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Belud.
“Orang ramai juga dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati ketika memandu, mematuhi undang-undang jalan raya serta memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik,” katanya. – Info X