TONGOD: Empat parti komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuamut, di sini, sudah menyiapkan jentera masing-masing bagi mempertahankan kerusi berkenaan pada PRN17.
Persiapan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanahair (STAR) dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) itu kini sudah di peringkat akhir.
Pengerusi GRS Kuamut, Datuk Masiung Banah, berkata gabungan itu sudah melengkapkan jentera bagi menghadapi cabaran parti lawan sambil bertekad untuk mempertahankan dominasi GRS.
“Misi kita untuk mempertahankan kerusi GRS dan memperolehi majoriti yang besar di Kuamut pada PRN17 nanti.
“Sebagai langkah kesiapsiagaan, GRS yang dipayungi Gagasan Rakyat sudahpun memulakan gerak kerja parti di seluruh kawasan Kuamut sejak tiga tahun lalu,” katanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut itu berkata demikian selepas menghadiri taklimat agen pusat mengundi dan agen pengiraan undi di Dewan Simpang Entilibon, di sini, pada Ahad.
Hadir sama Pengarah Sekretariat Gagasan Rakyat, Datuk Abdul Kassim Razali yang mengetuai delegasi pegawai latihan dan penceramah parti itu.
Masiung berkata, GRS Kuamut tidak akan bersandar semata-mata kepada laporan Sekretariat War Room, melainkan setelah turun padang sejak lebih setahun lalu.
Mengulas lanjut, Masiung yang juga Naib Presiden Gagasan Rakyat berkata, satu jawatankuasa bersama telah dibentuk di setiap Pusat Daerah Mengundi (PDM) untuk memastikan persiapan kempen pilihan raya kali ini berjalan dengan teratur.
Hadir sama pada taklimat itu ialah Ketua Bahagian parti komponen GRS Kuamut iaitu Mandik Yadam (STAR), James Aik (USNO) dan Dusin Janis (PBS) serta 300 ahli jawatankuasa jentera utama GRS Kuamut. – Info X