Search

PGA rampas 10 tan minyak sawit mentah disyaki diseleweng

August 25, 2025

Info X Reporters

RANAU: Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan seorang lelaki dan merampas 10 tan Minyak Sawit Mentah (CPO) yang dipercayai cuba diselewengkan dalam operasi bersepadu di Jalan Kampung Nalapak, di sini, Sabtu lalu.

Operasi Op Taring Palma kira-kira jam 12.30 tengah hari itu dilaksanakan pasukan Task Force Batalion 21 Keningau dan turut dibantu Lembaga Minyak Sawit Malaysia.

Komander PGA Sabah, Datuk Abdul Rani Alias berkata, bertindak atas maklumat, pasukan operasi menahan sebuah lori dan sebuah lagi lori tangki yang disyaki menjalankan aktiviti penyelewengan CPO.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati, terdapat beberapa peralatan yang dipercayai untuk kegunaan kegiatan pemindahan Minyak Sawit Mentah.

“Jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM551,900 termasuk kenderaan dan minyak sawit mentah.

“Suspek terus ditahan dan semua barang rampasan diserahkan kepada Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Peraturan – Peraturan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (Pelesenan) 2005 kerana mengalih minyak tanpa lesen. – Info X