PENAMPANG: Seorang wanita warga asing dicekup polis selepas dipercayai terbabit dalam kegiatan persundalan menerusi aplikasi dalam talian dalam serbuan di sebuah hotel di Jalan Bundusan, di sini, malam tadi.
Serbuan dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang kira-kira jam 10.30 malam dan pemeriksaan mendapati wanita berusia 27 tahun itu disyaki menawarkan khidmat seks.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, siasatan awal mendapati aktiviti persundalan ini dijalankan melalui platform dalam talian sebagai medium untuk mendapatkan pelanggan.
“Polis turut merampas telefon bimbit, kondom serta sejumlah wang tunai dipercayai hasil kegiatan itu.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan kerana terbabit dalam aktiviti persundalan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Sementara itu, Sammy berkata pihaknya komited membanteras kegiatan tidak bermoral ini dan menyeru orang ramai terus menyalurkan maklumat berkaitan jenayah di kawasan masing-masing. – Info X