TUARAN: Projek naik taraf Jalan Berungis–Pekan Tuaran, di sini dijangka siap pada Mac 2028 setelah diberi lanjutan masa, berbanding jadual asal yang mengambil masa 36 bulan dari tarikh permulaan projek pada Mac 2024.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Dalit, Datuk Jasnih Daya, berkata dakwaan pihak tertentu mengatakan projek itu terbengkalai adalah tidak benar, sebaliknya dilaksanakan mengikut prosedur kerja ditetapkan.
Beliau bagaimanapun mengakui terdapat beberapa kekangan teknikal dan pentadbiran yang menyebabkan kelewatan projek itu, antaranya proses pengambilan balik tanah yang mengambil masa panjang, selain pengalihan utiliti.
“Surat Setuju Terima (SST) projek itu dikeluarkan pada Mac 2024, manakala kerja reka bentuk terperinci siap sepenuhnya pada Disember tahun sama. Projek ini bermula secara rasmi pada 12 Mac 2024 dengan jadual asal untuk disiapkan dalam tempoh 36 bulan.
“Namun, disebabkan beberapa kekangan, projek ini diberi lanjutan masa (Extension of Time – EOT No 1) dan kini dijangka siap sepenuhnya pada 31 Mac 2028. Antara punca kelewatan ialah proses pengambilan balik tanah yang memerlukan masa panjang.
“Pelan pengambilan tanah diserahkan kepada Jabatan Tanah dan Ukur Sabah pada 30 September 2024, manakala draf pengisytiharan warta dihantar ke Pejabat Peguam Besar Negeri pada 9 Oktober 2024 untuk proses lanjut.
“Selain itu, isu teknikal berkaitan pengalihan utiliti seperti tiang elektrik, kabel dan paip air juga memberi kesan kepada kelancaran kerja fizikal di tapak,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, pada Isnin.
Beliau berkata demikian bagi menjawab kritikan Ketua Penyelaras Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) Pantai Dalit, Jaesman Gipin, yang menyuarakan kebimbangan mengenai nasib ribuan pengguna jalan raya berkenaan.
Jasnih menegaskan sebagai wakil rakyat di kawasan Tuaran, beliau amat memahami keresahan penduduk yang berdepan kesesakan trafik di laluan itu sejak sekian lama, lebih-lebih lagi ia membabitkan kawasan DUN Pantai Dalit yang diwakilinya.
“Saya sendiri melalui jalan ini hujung minggu lalu untuk meninjau perkembangannya. Jelas kelihatan kerja-kerja sudah bermula, bukannya tergendala. Kalau orang Tuaran biasa melalui jalan ini, mereka akan perasan kerja menaik taraf sedang berjalan, kecuali kalau fikiran bercelaru semasa memandu,” katanya.
Beliau berkata, projek menaik taraf Jalan Berungis (Laluan 503) dari KM0.2 hingga KM2.9 sepanjang 2.7 kilometer itu adalah sebahagian inisiatif Rolling Plan Kedua, Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), yang diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan.
Projek itu, katanya membabitkan kerja menaik taraf jalan dua lorong sedia ada kepada jalan empat lorong dua hala, pembinaan sebuah jejambat pusingan U dan jambatan baharu bagi menggantikan pembetung lama yang tidak lagi sesuai menampung trafik semakin meningkat.
“Ia dilaksanakan menggunakan kaedah reka dan bina (design & build), dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia sebagai agensi pelaksana utama dan JKR Negeri Sabah sebagai Pegawai Penguasa projek,” katanya.
Jelasnya, walaupun prosedur agak kompleks dan melibatkan banyak agensi teknikal, projek berkenaan tetap diteruskan dan bukannya terbengkalai seperti yang dibimbangkan sesetengah pihak.
“InshaAllah, kita akan terus pantau rapat perkembangan projek ini kerana kita juga mahu rasa tenang dan lancar apabila memandu di jalan ini. Jangan pula ada yang kata kami tidak payung Tuaran,” katanya.
Beliau berkata, isu kesesakan di laluan berkenaan adalah antara perkara awal yang dibincang dan diperjuangkan bersama Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, selepas kerajaan baharu dibentuk.
Malah, katanya pada 2022 beliau pernah mengumumkan bahawa masalah itu akan selesai tidak lama lagi selepas Ketua Menteri memaklumkan kepadanya bahawa projek jalan raya itu sudah dipersetujui.
“Ketika itu, kegembiraan saya terlalu besar hingga tidak sabar berkongsi dengan rakyat Tuaran, walaupun masih ada beberapa prosedur perlu dilalui sebelum ia benar-benar bermula,” katanya.
Jasnih berkata beliau kekal optimis dengan pelaksanaan projek berkenaan dan menyeru rakyat supaya bersabar kerana kerja menaik taraf jalan itu sedang dijalankan untuk kepentingan jangka panjang penduduk Tuaran. – Info X