Search

KILOMETER 19.2 JALAN RANAU-KIULU DITUTUP AKIBAT RUNTUH

May 18, 2022

admin

TUARAN: Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah memaklumkan Jalan Pulak Pahu Nulu di kilometer 19.2 yang dilaporkan runtuh ekoran kegagalan cerun hingga mengakibatkan jalan menghubungkan daerah Ranau dan Kiulu terpaksa ditutup.

Pengarahnya, Datuk Ir Ali Ahmad Hamid berkata, kejadian tanah runtuh berkenaan menyebabkan sebahagian laluan di kawasan berbukit yang menghubungkan Kampung Lokos dan Kampung Pahu runtuh.

“Tanah runtuh itu dilaporkan berlaku sekitar jam 3 petang semalam yang berpunca daripada hujan berterusan.

“Kejadian tanah runtuh disebabkan kegagalan cerun di laluan berstatus Jalan Negeri dan ianya dikategorikan sebagai berbahaya.

“Syarikat penyelenggaraan jalan yang bertanggungjawab sudah diarahkan untuk ke lokasi bagi menjalankan pemantauan serta memasang papan tanda amaran.

“Laluan juga sudah ditutup untuk semua jenis kenderaan berikutan runtuhan tanah masih berlaku.

“Jalan berkenaan dikhuatiri akan terputus sepenuhnya pada bila-bila masa saja disebabkan cuaca hujan yang masih berterusan,” katanya.

Sementara itu, Ali Ahmad menyatakan pengguna jalan raya khususnya dikawasan ini disarankan supaya menggunakan jalan alternatif iaitu laluan Jalan Tomis Tiong Lokub bagi mengelak kejadian yang tidak diingini berlaku.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati dalam pemanduan dan peka dengan keadaan sekeliling jalan. – Info X