Search

Sindiket edar dadah tumpas, tiga ditahan di Kota Marudu

August 28, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sabah, terus giat usaha membendung aktiviti pengedaran dadah apabila berjaya menumpaskan satu lagi rangkaian sindiket pengedaran dadah.

Terbaru, pasukan operasi JSJN berjaya menahan dua lelaki yang dipercayai aktif melakukan aktiviti pengedaran dadah di sekitar daerah Kota Marudu, awal pagi tadi.

Ketua JSJN Sabah, Asisten Komisioner Alhusin Halil berkata, bertindak atas maklumat, pasukan operasi menyerbu stor di sebuah rumah di Kampung Togop, Kota Marudu dan menahan dua individu termasuk seorang wanita berusia 46 dan 40 tahun.

Katanya, sebaik ditahan, pihaknya menemui 13 paket plastik lutsinar pelbagai bersaiz disyaki dadah jenis syabu seberat 112.90 gram yang dianggarkan bernilai RM7,000 disimpan di dalam beg milik suspek.

“Suspek mengaku memiliki dadah berkenaan dan mendapat bekalan dadah daripada seorang lelaki.

“Suspek turut mengami mengedar dadah di sekitar daerah Kota Marudu dan menggunakan kaedah bayaran tunai ketika pesanan dihantar (COD) selain ada juga pelanggan datang ke rumah,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, hasil ujian saringan air kencing terhadap kedua-dua suspek didapati positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine.

Alhusin berkata, susulan kejayaan itu, polis meneruskan operasi dengan menyerbu sebuah rumah Kampung Goshen, Jalan Lotong, di sini, dengan dipandu arah suspek pertama.

Katanya, pasukan operasi berjaya menahan seorang lelaki berusia 44 tahun dan merampas 38.40 gram dadah yang dianggarkan bernilai RM2,500.

Menurutnya, pasukan operasi turut berjaya merampas wang tunai sebanyak RM21,000 yang dipercayai hasil kegiatan jenayah dadah berkenaan.

Katanya, ketiga-tiga suspek ditahan reman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 39A(2) dan Seksyen 15(1)(a) akta sama.

Sehubungan itu, Alhusin berkata, menerusi tangkapan berkenaan, pihak berjaya menumpaskan pengedar yang giat mengedarkan dadah ke daerah sekitar seperti Kota Marudu, Ranau dan juga Sandakan.

Katanya, operasi akan diteruskan untuk mengenalpasti suspek lain yang terlibat dan seterusnya mematahkan rangkaian pengedaran dadah di negeri ini.

JSJN Sabah perangi dadah, lindungi generasi. – Info X