KOTA KINABALU: Prosiding inkues kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir diteruskan seperti yang dijadualkan sebelum ini, iaitu bermula pada 3 September depan.
Keputusan itu dibuat Koroner Azreena Aziz selepas peguam mewakili saksi kanak-kanak yang dituduh di Mahkamah Kanak-Kanak sebelum ini meminta supaya inkues itu ditangguhkan.
Permohonan itu dibuat pada pendengaran permohonan peguam mewakili keluarga arwah Zara Qairina untuk mendeklarasikan ibu Allahyarham, Noraidah Lamat sebagai orang berkepentingan di Mahkamah Koroner, pada Khamis.
Mengulas mengenai permohonan kedua daripada peguam bela saksi kanak-kanak terbabit, peguam keluarga arwah Zara, Shahlan Jufri, ketika ditemui media selepas itu, berkata pihaknya bersama Jabatan Peguam Negara (AGC) membantah cadangan penangguhan itu.
“Permohonan pertama oleh peguam bela kanak-kanak adalah untuk menjadi pihak berkepentingan. Permohonan kedua ialah menangguhkan inkues atas alasan yang dihujahkan mereka.
“Pihak kami dan Pejabat Peguam Negara sama-sama membantah, dan akhirnya hakim menolak permohonan penangguhan itu,” katanya.
Katanya, inkues kematian arwah Zara akan bermula pada 3 dan 4 September depan di hadapan koroner baharu.
“Ya, pada 3 dan 4 September prosiding inkues akan berlangsung seperti biasa. Namun, hakim yang mengendalikan inkues akan bertukar, tadi Puan Azreena maklumkan, Hakim Koroner yang baharu ialah Tuan Amir Shah Amir Hassan menggantikan Puan Azreena,” katanya.
Sebelum ini, Koroner Azreena Aziz menetapkan pendengaran inkues kematian arwah Zara Qairina pada 3 hingga 4 September, 8 hingga 12 September, 17 hingga 19 September dan 22 hingga 30 September depan. – Info X