Search

Inkues kematian Zara: Mahkamah Koroner benarkan permohonan peguam

August 28, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Mahkamah Koroner di sini membenarkan permohonan peguam keluarga Allahyarham Zara Qairina Mahathir untuk mendeklarasikan ibu arwah sebagai orang berkepentingan dalam prosiding inkues yang dijadual bermula 3 September depan.

Permohonan itu dibenarkan Koroner Azreena Aziz pada prosiding pendengaran permohonan berkenaan di Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu, di sini, pada Khamis.

Selain permohonan peguam keluarga arwah, Mahkamah Koroner turut membenarkan permohonan sama daripada peguam bela yang mewakili lima remaja dituduh atas dakwaan buli di Mahkamah Kanak-Kanak sebelum ini.

Mengulas lanjut, peguam mewakili keluarga arwah Zara, Shahlan Jufri ketika ditemui di luar mahkamah selepas prosiding, berkata pihaknya juga dibenarkan mendapat akses kepada dokumen pihak pendakwaan.

“Hari ini ditetapkan pendengaran untuk permohonan pasukan guaman Zara. Permohonan tersebut sudah dibenarkan oleh mahkamah dan kami diberikan kebenaran untuk menjadi pihak berkepentingan.

“Selain itu, kami juga akan mempunyai akses kepada dokumen-dokumen daripada pihak pendakwaan. Namun, terdapat empat syarat yang perlu dipatuhi oleh pasukan guaman kami.

“Hari ini juga ada permohonan daripada peguam bela kanak-kanak yang dituduh di Mahkamah Kanak-Kanak minggu lalu. Mereka memohon untuk turut dibenarkan sebagai pihak berkepentingan dalam inkues ini.

“Pihak kami membantah permohonan tersebut, namun Jabatan Peguam Negara (AGC) tidak membantah. Disebabkan itu, permohonan mereka dibenarkan oleh Hakim Koroner,” katanya.

Beliau berkata, bantahan pihaknya mengambil kira prosiding inkues bukan tempat perlawanan di antara pihak pembelaan dan pendakwaan

“Perlu diingat, inkues ini bukan tempat perlawanan utama (real battle) antara pihak pembelaan atau pendakwaan. Itu akan berlaku di Mahkamah Kanak-Kanak.

“Inkues hanya untuk mengetahui punca sebenar kematian Zara, bukan untuk menyabitkan sesiapa dengan kesalahan,” katanya. – Info X