Search

Inkues kematian Zara: Ibu arwah tenang, kehadirannya tarik perhatian ramai

August 28, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kehadiran ibu Allahyarham Zara Qairina Mahathir di Mahkamah Koroner bagi mengikuti pendengaran permohonan pihak berkepentingan untuk inkues kematian anaknya menarik perhatian pengunjung Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu, di sini, pada Khamis.

Noraidah Lamat, yang tiba pada jam 8.50 pagi diiringi wakil badan bukan kerajaan (NGO) dan pasukan guamannya kelihatan tenang dan sempat menjawab salam pihak media yang berkumpul sejak pagi.

Sebelum melangkah masuk ke Mahkamah Koroner, beliau sempat berdiri seketika dan melemparkan senyuman tanpa menunjukkan sebarang riak sugul.

Sebaik permohonan inkues selesai, suasana sama berterusan apabila beliau kekal tenang ketika peguam keluarga, Shahlan Jufri, mengadakan sidang media di luar perkarangan mahkamah.

Ketika ditanya sama ada ibu Zara mahu memberikan kenyataan, peguam memaklumkan semua kenyataan rasmi hanya akan disalurkan melalui pihak guaman.

Dalam sidang media itu, Shahlan berkata keluarga arwah bersemangat untuk meneruskan prosiding selepas mahkamah menolak permohonan penangguhan yang dikemukakan pihak pembelaan.

“Ibu Zara bersemangat, memang inilah hari-hari yang dinantikan. Sejak awal lagi keluarga mahu inkues ini diteruskan.

“Bila permohonan tangguhan tidak dibenarkan, saya percaya ibu Zara gembira untuk meneruskan prosiding,” katanya ketika ditemui media, hari ini.

Menurutnya, ketenangan yang ditunjukkan ibu Zara hari ini menggambarkan semangat keluarga yang mahu melihat inkues berjalan lancar demi mencari kebenaran.

Sebelum ini, Koroner Azreena Aziz menetapkan pendengaran inkues kematian arwah Zara Qairina pada 3 hingga 4 September, 8 hingga 12 September, 17 hingga 19 September dan 22 hingga 30 September depan. – Info X