KOTA KINABALU: Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melalap akan diisytiharkan kosong pada 3 September depan jika penyandangnya, Datuk Peter Anthony yang kini menjalani hukuman penjara tidak memfailkan petisyen pengampunan sehingga 2 September ini.
Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Datuk Seri Kadzim M Yahya, berkata Peter mempunyai tempoh 14 hari untuk memfailkan petisyen pengampunan bermula dari 20 Ogos lalu.
Katanya, ia adalah tarikh Mahkamah Rayuan menolak permohonan Peter untuk mengkaji semula keputusan sabitan dan hukuman oleh Mahkamah Sesyen sebelum ini.
Keputusan itu, katanya secara tidak langsung mengekalkan sabitan serta hukuman penjara dan denda yang dijalani Peter.
“Selaras dengan Perkara 17(1)(i) Perlembagaan Negeri Sabah, mana-mana Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang disabitkan dengan kesalahan dan dihukum penjara tidak kurang daripada setahun atau denda tidak kurang RM2,000 akan hilang kelayakan.
“Walau bagaimanapun, peruntukan ini dibaca bersama Perkara 17(3)(e) yang memberikan tempoh 14 hari kepada ADUN berkenaan untuk memfailkan rayuan atau petisyen pengampunan,” katanya.
Kadzim berkata, Peter mempunyai tempoh hingga 2 September untuk mengemukakan petisyen pengampunan jika berhasrat berbuat demikian dan jika gagal, kerusi DUN Melalap automatik menjadi kosong secara automatik mulai 3 September.
“Sekiranya petisyen difailkan, kita perlu menunggu sehingga keputusan mengenai pengampunan itu ditetapkan. Namun, jika tiada sebarang tindakan, kerusi berkenaan dikosongkan secara automatik,” katanya.
Jika diisytihar kosong, Pilihan Raya Kecil (PRK) tidak mungkin diadakan berikutan tempoh DUN Sabah sekarang akan tamat secara automatik pada 11 November depan.
Peter yang juga Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) dipenjara tiga tahun dan denda RM50,000 selepas didapati bersalah atas kesalahan pemalsuan dokumen di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Mei 2022.
Beliau sebelum ini sudah membuat rayuan terhadap hukuman itu di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan namun ditolak. – Info X