PENAMPANG: Seorang lelaki maut selepas motosikal ditungganginya bergesel dengan kenderaan pacuan empat roda sebelum tercampak ke dalam longkang pembinaan di Jalan Pintas Penampang, berhampiran Bulatan Datuk Peter Mojuntin, di sini, tengah malam tadi.
Dalam kejadian jam 12.50 tengah malam, mangsa berusia 32 tahun itu disahkan meninggal dunia di lokasi akibat parah selepas tercampak kira-kira 30 meter dari motosikalnya.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, kemalangan berlaku apabila pacuan empat roda dari arah Plaza 333 menghala ke Kota Kinabalu masuk ke bulatan berkenaan lalu bergesel dengan motosikal mangsa yang datang dari arah sama.
“Akibat pergeselan, motosikal mangsa terbabas sejauh kira-kira 30 meter sebelum mangsa tercampak masuk ke dalam longkang pembinaan di bahu jalan.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) Kota Kinabalu,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, mayat dihantar ke Unit Forensik HQE I, untuk bedah siasat manakala pemandu dan penumpang kenderaan pacuan empat roda itu tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya sehingga menyebabkan kematian,” katanya.
Sementara itu, Sammy berkata polis menasihati orang ramai supaya sentiasa berhati-hati ketika memandu serta mengutamakan keselamatan pengguna jalan raya lain bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini diminta tampil ke Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik, IPD Penampang atau menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Saparia Ladoni di talian 019-8095133,” katanya. – Info X