KOTA KINABALU: Pemimpin UMNO Sabah menasihatkan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor tidak menunggu Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) sebagai pilihan raya terakhir sebelum bersara.
Ketua Penerangannya, Datuk Suhaimi Nasir, berkata setelah 35 tahun berpolitik, 31 tahun dalam Kabinet dan lima kali ‘tukar baju’, Hajiji sudah layak untuk berehat.
Katanya, Ketua Menteri sudah lama dalam politik bermula dari USNO kemudian UMNO-BN, sebelum beralih ke BERSATU dan menyarung baju Perikatan Nasional (PN) pada PRN16.
Selepas itu, katanya Hajiji menubuhkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan akhirnya menjadi Presiden Parti Gabungan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat).
Malangnya, beliau mendakwa pengalaman panjang itu tidak pernah diterjemah kepada kesejahteraan rakyat Sabah, sebaliknya hanya meninggalkan kegagalan.
“Hampir lima tahun menerajui kerajaan negeri, rakyat terus berdepan jalan raya rosak, bekalan elektrik tidak stabil, krisis air berpanjangan serta kadar pengangguran tertinggi di Malaysia iaitu 7.7 peratus pada suku keempat 2024.
“Ditambah pula dengan skandal lesen mineral yang mencalar integriti, pentadbiran GRS jelas tidak mampu dipertahankan.
“Hakikatnya, pengumuman Hajiji untuk ‘berehat’ selepas PRN17 bukanlah pengunduran luhur, sebaliknya strategi keluar untuk mengelak beban politik lebih besar.
“Kalau sudah penat, lebih baik Hajiji berehat terus, tidak perlu tunggu PRN17 untuk yang terakhir, teruslah duduk di rumah jaga cucu cicit, daripada terus membebankan rakyat dengan kegagalan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Beliau mengulas kenyataan Hajiji sebelum ini yang menyatakan PRN17 adalah pilihan raya terakhir baginya sebelum mengundur diri dan menyerahkan kerusi DUN Sulaman yang disandangnya selama tiga dekad kepada pemimpin muda.
Suhaimi yang juga Ahli Parlimen Libaran mendakwa, kerajaan GRS terbukti sebagai kerajaan paling gagal dalam sejarah pentadbiran Sabah.
Beliau mendakwa kerajaan pimpinan Hajiji itu gagal menjaga integriti, gagal menyelesaikan masalah asas rakyat, dan gagal membentangkan pelan ekonomi realistik.
“Sabah memerlukan kepimpinan baharu yang bersih, berwibawa dan benar-benar fokus kepada penyelesaian masalah rakyat, bukan lagi janji kosong dan gimik pelaburan tanpa hasil,” katanya. – Info X