KOTA KINABALU: Sabah FC menyasarkan untuk melakar kemenangan pertama saingan Liga Super musim ini pada perlawanan menentang Melaka FC di Stadium Likas, malam ini.
Pengendalinya, Jean-Paul de Marigny, berkata Sang Badak akan memastikan tiga mata dapat dikutip setelah hanya seri dalam dua perlawanan sebelum ini.
Persiapan rapi, katanya dibuat dari awal minggu ini untuk memastikan kemenangan di halaman sendiri setelah dikecewakan Kelantan The Real Warriors (TRW) FC yang berjaya mengikat Sang Badak tanpa jaringan Sabtu lalu.
“Persiapan rapi termasuk aspek ketajaman di hadapan gol diberi tumpuan bagi memastikan tiga mata dapat diraih selepas mencatat dua keputusan seri sebelum ini.
“Dari segi mental dan fizikal, pemain berada dalam keadaan terbaik, jadi latihan minggu ini lebih tertumpu kepada ketepatan hantaran serta larian bagi memperkemaskan jentera serangan,” katanya.
Beliau memuji komitmen barisan pertahanan Sang Badak yang disifatkannya begitu konsisten dalam dua perlawanan terdahulu, namun bahagian serangan masih kurang memuaskan.
“Pertahanan kita beraksi baik musim ini tetapi kita perlu lebih klinikal di hadapan gol. Keyakinan dan penyudah yang tajam akan menjadi kunci kemenangan pasukan,” katanya.
De Marigny turut menyatakan penghargaan kepada penyokong Sabah FC yang sentiasa memberi sokongan dan menyifatkan kehadiran mereka sebagai suntikan semangat buat pasukan.
“Sokongan padu penyokong di Stadium Likas amat kita hargai. Ia menjadi tanggungjawab kita untuk membalas kepercayaan itu dengan persembahan terbaik,” katanya.
Perlawanan Sabah FC vs Melaka FC berlangsung di Stadium Likas pada jam 8.15 malam ini. – Info X