KOTA KINABALU: Sabah Fest 2025 dilancarkan secara rasmi menerusi acara pembukaan berwarna warni yang mengetengahkan keunikan kebudayaan dan kesenian Sabah di Jalan Gaya, di sini, malam tadi.
Majlis pelancaran yang disempurnakan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Seri Christina Liew menandakan bermulanya program Sabah Fest 2025 yang berlangsung selama sebulan hingga akhir September ini.
Acara pembukaan itu turut menarik perhatian pelancong tempatan dan asing yang hadir menyaksikan persembahan kebudayaan dan kesenian masyarakat berbilang di Sabah.
Christina dalam ucapannya berkata tema Sabah Fest kali ini, ‘Kesatuan Dalam Kepelbagaian: Budaya Menyatukan Kita’ menggambarkan kepelbagaian kesenian, tradisi dan persembahan budaya yang mengukuhjan hubungan rakyat Sabah.

“Malam ini kita dipersembahkan dengan kekayaan budaya dari lima bahagian di Sabah, Pantai Barat, Kudat, Sandakan, Tawau dan Pedalaman melalui muzik dan tarian,” katanya.
Antara acara Sabah Fest sepanjang September ini ialah Fun Run & Walk di Taman Ujana Rimba Tropika pada 6 September, Sabah Fest Mini Carnival di Imago Shopping Mall pada 6-7 September dan Sabah Fest Extravaganza pada 27-28 September di Oceanus Boardwalk.
Sebagai tambahan, Christina berkata persembahan kebudayaan turut diadakan di Tamu Jalan Gaya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) dan Suria Sabah Mall.

Katanya, semua maklumat mengenai acara sambutan Sabah Fest 2025 boleh diperolehi di hellosabah.com.
Sabah Fest, katanya bukan hanya satu festival, malah adalah acara berkaitan usaha memelihara warisan, memperkasa komuniti dan mengajak masyarakat dunia merasai pengalaman keunikan negeri ini. – Info X