TUARAN: Seorang remaja lelaki ditemui meninggal dunia selepas dipercayai lemas ketika mandi-manda bersama keluarga di Pantai Kampung Shahbandar, di sini, semalam.
Mangsa berusia 15 tahun itu ditemui orang awam kira-kira satu kilometer dari lokasi lokasi dia dilaporkan hilang.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, Mohamad Nor Amit berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 5.23 petang.
Menurutnya, sepasukan 14 anggota bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikerah ke lokasi kejadian.
“Berdasarkan maklumat, seorang remaja lelaki dikhuatiri lemas ketika mandi-manda. Pasukan bomba kemudian menjalankan operasi mencari dan menyelamat secara surface searching di kawasan mangsa dilaporkan hilang.
“Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) turut digerakkan ke lokasi bagi membantu pencarian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, mangsa akhirnya berjaya ditemui oleh orang awam pada jam 7.05 malam.
“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada jam 7.34 malam sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
“Pemeriksaan akhir turut dijalankan bagi memastikan tiada risiko bahaya lain sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya jam 7.50 malam,” katanya. – Info X