KOTA KINABALU: Peguam mewakili keluarga Allahyarham Zara Qairina Mahathir menyatakan harapan agar kebenaran mengenai punca kematian pelajar itu didedahkan pada inkues kematiannya di Mahkamah Koroner, yang bermula Rabu ini.
Peguam Shahlan Jufri, berkata beliau bersama barisan guaman mewakili ibu Zara, Noraidah Lamat sudah bersedia untuk membantu Mahkamah Koroner sepanjang sebulan prosiding inkues itu.
“Pasukan peguam sudah bersedia untuk membantu mahkamah mencapai kebenaran dalam kes kematian Zara. Inkues ini adalah untuk mendapatkan kebenaran mengenai apa yang berlaku terhadap arwah,” katanya, di sini.
Inkues itu diminta mereka melalui permohonan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) sebelum ini bagi mencari punca yang boleh menjurus kepada kematian Zara.
Mengenai ibu arwah Zara Qairina, sama ada dipanggil sebagai saksi untuk memberi keterangan pada hari pertama inkues, Rabu ini, beliau berkata perkara itu tertakluk kepada Pegawai Pengendali.
“Belum dapat dipastikan sama ada ibu arwah dipanggil pada hari pertama inkues, ia bergantung kepada susunan saksi oleh pihak Pegawai Pengendali.
“Bilangan saksi dijangka lebih kurang seramai 70 orang, tapi jumlah ini boleh berubah mengikut keperluan Pegawai Pengendali dan pihak-pihak yang berkepentingan,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya juga sudah mendapat senarai saksi yang akan dipanggil sepanjang prosiding inkues daripada Pegawai Pengendali pada 29 Ogos lalu.
“Sebahagian dokumen lagi akan diberikan kepada pasukan peguam pada 2 September 2025. Penyerahan dokumen akan dilakukan secara berperingkat bergantung kepada arahan Mahkamah Koroner,” katanya.
Shahlan dibantu empat rakan guaman, Rizwandean M Borhan, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh dan Farrah Nasser, mewakili ibu arwah Zara Qairina dalam kes kematiannya.
Mahkamah Koroner dijadual bersidang mulai Rabu ini di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan yang menggantikan Azreena.
Prosiding inkues kematian Zara Qairina ditetapkan untuk pendengaran pada 3 hingga 5 September, 8 hingga 12 September, 17 hingga 19 September, 22 hingga 26 September dan 29 hingga 30 September 2025. – Info X