Search

Penunggang motosikal maut tercampak dalam parit

September 1, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Seorang penunggang motosikal maut selepas terbabas lalu melanggar pembahagi jalan di Jalan Universiti Malaysia Sabah (UMS), Kampung Delima, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian jam 1.24 pagi itu, mangsa berusia 20 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, siasatan awal mendapati motosikal yang ditunggang mangsa dari arah Teluk Likas menuju Indah Permai.

Katanya, mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke kanan jalan lalu merempuh pembahagi jalan.

“Akibat impak kuat, mangsa tercampak ke dalam parit di tengah pembahagi jalan dan disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan.

“Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Queen Elizabeth I untuk bedah siasat,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati punca kemalangan dipercayai akibat mangsa gagal mengawal motosikal yang ditungganginya.

“Sampel darah akan diambil untuk ujian alkohol. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Orang ramai dinasihatkan sentiasa mematuhi peraturan jalan raya serta memastikan tahap keselamatan diri ketika menunggang atau memandu kenderaan,” katanya. – Info X