TAWAU: Polis sedang mengesan seorang wanita yang dipercayai mengeluarkan ucapan berbaur hasutan ketika menghadiri Himpunan Solidarity Justice For Zara, semalam.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin, berkata pihaknya menerima tiga laporan polis berhubung himpunan berkenaan yang berlangsung di daerah ini.

“Seorang daripada individu yang memberi ucapan, iaitu seorang wanita, didapati mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan terhadap Tuan Yang Terutama (TYT) Tun Musa Aman.
“Ekoran daripada laporan yang dibuat orang awam, polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 506 Kanun Keseksaan, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Jasmin berkata, setakat ini polis masih berusaha mengesan suspek yang sudah dikenal pasti serta beberapa saksi lain bagi membantu siasatan.
“Belum ada sebarang tangkapan dibuat, namun kita sedang giat mengesan suspek terbabit. Siasatan akan dijalankan secara telus dan mengikut prosedur biasa,” katanya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh menjejaskan ketenteraman awam atau menyentuh sensitiviti pihak tertentu. – Info X