TAWAU: Kerajaan negeri sentiasa menekankan ilmu, pendidikan, sahsiah, akhlak dan
pembangunan insan sebagai tunjang utama dalam membangunkan Sabah.
Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor berkata, pihaknya amat mengambil berat keperluan pendidikan dan bidang kemahiran anak-
anak di negeri berkenaan.
“Kita membelanjakan dana yang besar untuk membiayai anak-anak
kita melanjutkan pengajian di dalam dan luar negeri melalui biasiswa, derma siswa
oleh kerajaan negeri.
“Selain itu, inisiatif sama turut dibuat Yayasan Sabah, MUIS dan beberapa agensi lain bagi
memudahkan anak-anak kita menimba ilmu pengetahuan.
“Justeru itulah dalam pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ), kita
mengambil berat ke atas faktor modal insan dan kesejahteraan rakyat sebagai tunjang
utama hala tuju SMJ itu sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian sempena Majlis Penutupan dan Penyampaian Hadiah Tilawah
serta Menghafaz al- Quran Peringkat Negeri Sabah 2022 di Dewan
Masyarakat Tawau, di sini, malam tadi.
Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin turut menyempurnakan Perutusan
Penangguhan Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Negeri Sabah.
Turut hadir isteri Yang di-Pertua Negeri, Toh Puan Norlidah RM Jasni; isteri Ketua
Menteri, Datin Juliah Salag; Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Datuk Kadzim
M Yahya; Menteri Tugas-Tugas Khas merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Majlis
Tilawah, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Sr Safar Untong.
Sementara itu, Hajiji turut menyatakan
Kerajaan GRS-BN juga sudah memperkenalkan beberapa inisiatif bagi
mengurangkan bebanan pelajar dalam mereka mengikuti pelajaran dan pembelajaran.
“Kerajaan telah memperkenalkan bantuan untuk anak-anak yang pertama kali
menduduki pengajian di universiti dengan memberikan mereka one off sebanyak
RM2,000 seorang dikenali sebagai BUDI.
“Bagi yang menduduki peperiksaan SPM, STPM dan STAM, setiap mereka mendapat
one off RM200 sebagai persiapan menduduki peperiksaan yang dinamakan “BAKTI,” katanya.
Beliau memaklumkan seramai 5,000 pelajar telah mendapat bantuan BUDI pada
2021 manakala 40,000 pelajar menikmati bantuan “BAKTI.
Sementara itu, Hamdi Yusop @ Yusof dari Papar dan Nurfaten Izzati Rablin dari Kota
Kinabalu, muncul johan qari dan qariah Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran
Peringkat Negeri Sabah 2022.
Hamdi dan Nurfaten masing-masing menerima hadiah wang tunai RM10,000 berserta
piala dan hadiah iringan. – Info X