Search

Inkues kematian Zara: Ibu, bapa arwah dan peguam pesalah kanak-kanak dibenar sebagai pihak berkepentingan

September 3, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Mahkamah Koroner, di sini, membenarkan peguam ibu dan bapa Allahyarham Zara Qairina Mahathir serta lima pesalah kanak-kanak sebagai pihak berkepentingan dalam inkues kematian arwah Zara.

Koroner Amir Shah Amir Hassan membenarkan permohonan peguam kedua-dua ibu bapa arwah, Noraidah Lamat, 45 dan Mahathir Hashim @ Marikin, 44.

Noraidah diwakili peguam Shahlan Jufri dan Rizwandean M Borhan, selain Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh dan Farrah Nasser, manakala bapa arwah Zara pula diwakili peguam Sherzali Asli, Nurul Rafeeqa Afdul Mutolip dan Clarice Vyonne Conrad.

Koroner Amir Shah kemudian membacakan keputusannya membenarkan permohonan peguam mewakili lima remaja yang dituduh di Mahkamah Kanak-Kanak atas kesalahan buli untuk menjadi pihak berkepentingan selepas prosiding ditangguhkan pada jam 10.30 pagi.

Datuk Ram Singh, Joan Goh dan Prem Elmer Ganasan mewakili seorang daripada lima pesalah kanak-kanak terbabit, manakala empat lagi diwakili peguam Azhier Farhan Arisin bersama Abdul Fikry Jaafar Abdullah.

Ketika prosiding, peguam mewakili ibu arwah dan SLS membantah permohonan peguam pesalah kanak-kanak untuk menjadi pihak berkepentingan kerana berdepan pertuduhan di Mahkamah Kanak-Kanak, manakala tiada bantahan daripada peguam bapa arwah.

Dalam hujahnya, Ram Singh menjelaskan mereka perlu dibenarkan sebagai pihak berkepentingan untuk melindungi kepentingan kanak-kanak yang diwakili mereka.

Mahkamah Koroner turut membenarkan permohonan Persatuan Undang-Undang Sabah (SLS) dan wakil dari Kementerian Pendidikan (KPM) untuk sebagai pemerhati dalam prosiding inkues.

Barisan peguam SLS terdiri daripada presidennya, Datuk Mohamed Nazim Maduarin, Jamadi Saleh, Dominic Ghani dan Nabila Norsahar, manakala KPM diwakili Dr Norahimah Fitri.

Sementara itu, Pegawai Pengendali yang diketuai Pengarah Pendakwa Raya Negeri, Nahra Dollah memaklumkan lawatan tapak kejadian akan dibuat minggu depan dan diputuskan pada jam 9.30 pago, 11 September 2025.

Pendengaran inkues bermula jam 2 petang nanti dengan dimulakan Pakar Patologi dari Hospital Queen Elizabeth (HQE), Dr Jessie Hiu sebagai saksi pertama. – Info X