Search

Inkues kematian Zara: Peguam ibu arwah hormati keputusan mahkamah

September 3, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Peguam ibu arwah Allahyarham Zara Qairina Mahathir menghormati keputusan Mahkamah Koroner yang menolak bantahan mereka berhubung permohonan peguam lima pesalah kanak-kanak untuk menjadi pihak berkepentingan dalam inkues kematian arwah Zara Qairina.

Peguam Shahlan Jufri, berkata mereka mengemukakan bantahan terhadap permohonan peguam kanak-kanak terbabit, namun Koroner Amir Shah Amir Hassan membenarkannya.

“Sebelah pagi tadi, proses awal dijalankan di mana semua pemohon yang mempunyai kepentingan memohon kepada hakim koroner yang baharu dan pihak kami dibenarkan untuk menjadi pihak berkepentingan dalam kes ini.

“Peguam bela kepada pesalah kanak-kanak juga dibenarkan menjadi pihak berkepentingan. Selain itu, Persatuan Undang-Undang Sabah (SLS) juga hadir sebagai peguam pemerhati.

“Peguam kepada bapa arwah Zara turut hadir dan dibenarkan sebagai pihak berkepentingan. Pihak kami ada membantah terhadap permohonan peguam bela pesalah kanak-kanak sebagai pihak berkepentingan, namun bantahan ditolak. Kami menghormati keputusan mahkamah itu,” katanya ditemui di luar mahkamah.

Seorang daripada pesalah kanak-kanak terbabit diwakili Datuk Ram Singh, Joan Goh dan Prem Elmer Ganasan, manakala empat lagi diwakili peguam Azhier Farhan Arisin bersama Abdul Fikry Jaafar Abdullah.

Shahlan dibantu Rizwandean M Borhan, selain Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh dan Farrah Nasser mewakili ibu arwah Zara, Noraidah Lamat, manakala bapa arwah Zara pula diwakili peguam Sherzali Asli, Nurul Rafeeqa Afdul Mutolip dan Clarice Vyonne Conrad.

Sementara itu, Shahlan berkata, pada jam 2 petang nanti, keterangan saksi pertama bagi inkues kematian arwah Zara diberikan oleh pihak forensik.

“Jumlah keseluruhan saksi yang disenaraikan setakat ini adalah seramai 68 orang. Jumlah itu mungkin bertambah daripada pihak kami atau pihak berkepentingan lain.

“Saksi-saksi turut melibatkan pasukan forensik, Jabatan Patologi, saksi-saksi polis, pelajar sekolah, pegawai keselamatan dan lain-lain. Terdapat juga guru serta warden, namun perkara itu perlu disemak semula dalam senarai,” katanya.

Beliau berkata, ibu arwah Zara, Noraidah Lamat juga termasuk dalam senarai saksi, tetapi tarikh dipanggil belum dapat dipastikan.

Ditanya mengenai perintah larangan, Shahlan berkata setakat ini tiada larangan dikeluarkan Mahkamah Koroner.

“Namun, sekiranya saksi kanak-kanak dipanggil, prosiding akan dijalankan secara dalam kamera atau tertutup. Langkah ini penting kerana saksi adalah di bawah umur dan perlu dilindungi,” katanya. – Info X