KOTA KINABALU: Bapa arwah Zara Qairina, Mahathir Hashim @ Marikin, 44, berada dalam kebimbangan apabila hanya mendapat maklumat melalui media sosial mengenai perkembangan kes kematian anaknya.
Mendedahkan perkara itu, peguamnya, Sherzali Asli, berkata ayah kandung arwah Zara itu juga mempunyai hak ke atas anaknya dan atas sebab itu, beliau turut memohon untuk menjadi pihak berkepentingan dalam inkues yang bermula hari ini.
“Beliau mempunyai semua hak sebagai ayah biologi untuk berada di sini (Mahkamah Koroner). Ia juga adalah misi mencari bukti bagi pihaknya.
“Sejauh mana beliau bimbang, maklumat yang diperolehi hanyalah melalui media sosial. Itulah sebabnya kami berada di sini,” katanya ditemui selepas prosiding Mahkamah Koroner pagi tadi.
Sherzali dibantu dua rakan guaman, Nurul Rafeeqa Afdul Mutolip dan Clarice Vyonne Conrad.
Bapa dan ibu arwah Zara dibenarkan menjadi pihak berkepentingan tanpa sebarang bantahan pada prosiding pagi tadi
Ibunya, Noraidah Lamat diwakili peguam Shahlan Jufri dan Rizwandean M Borhan, selain Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh dan Farrah Nasser.
Sementara itu, mengenai status hubungan ibu dan bapa arwah Zara, Sherzali berkata beliau hanya boleh mengatakan pasangan itu masih berkahwin tapi terpisah.
Beliau juga berkata, terpulang kepada bapa arwah sama ada mahu datang pada inkues itu atau tidak kerana ia adalah sesuatu yang emosional. – Info X