KOTA KINABALU: Pakar Patologi Hospital Queen Elizabeth (HQE), Dr Jessie Hiu, berkata taburan dan sifat kecederaan yang dialami jenazah Allahyarham Zara Qairina Mahathir adalah konsisten dengan jatuh dari tempat tinggi.
Beliau berkata, rekonstruksi berdasarkan kecederaan menunjukkan si mati mendarat pada kaki kiri diikuti kaki kanan.
Keadaan itu, katanya menyebabkan kecederaan lebih teruk pada tumit dan tulang kaki kiri, iaitu patah berbilang tulang calcaneum kiri, patah berbilang dan serong pada tibia distal kiri.
“Selepas impak, beliau jatuh ke belakang, terutama pada bahagian kiri tubuh, menyebabkan kecederaan pada pergelangan tangan, lengan bawah, siku kiri dan belakang kepala.
“Daya hentakan pada anggota bawah menjalar ke atas, mengakibatkan patah pada vertebra lumbar keempat hingga kedua disertai hematoma otot Psoas dan hematoma terhad pada tisu pelvis retroperitoneum,” katanya ketika memberi keterangan pada inkues kematian Zara Qairina di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.
Dr Jessie berkata, impak di belakang kepala menyebabkan pendarahan pada permukaan otak , iaitu pendarahan subdural dan subaraknoid si mati.
“Pendarahan ini membawa kepada pembengkakan otak dan seterusnya ensefalopati hipoksik iskemik atau kekurangan bekalan oksigen akibat pembengkakan otak dan kematian.
“Penemuan ini berdasarkan laporan CT Scan antemortem dan rekod perubatan. Semasa bedah siasat, otak menunjukkan pereputan cair yang lebih cepat berbanding organ lain akibat pembengkakan antemortem,” katanya. – Info X